suria

Chong Wei Layak Ke Suku Akhir Terbuka India

NEW DELHI: Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei akan menentang bintang yang semakin menyerlah dari India, Sourabh Verma, pada suku akhir Siri Super Terbuka India di sini Jumaat.

Selepas memulakan saingan dengan rentak hambar semalam, Chong Wei, pilihan utama di sini, memperbaiki rentak pada pusingan kedua hari ini dengan mudah menumpaskan pemain Korea Selatan Lee Hyun Il, 21-13, 21-17 dalam masa 31 minit.

Corak permainan yang memberangsangkan yang ditunjukkan oleh Chong Wei itu dapat memberi isyarat bahawa beliau sudah bersedia untuk merangkul gelaran pertama Terbuka India.

"Tidak ada tekanan daripada lawan hari ini dan saya seronok dengan saingan pada kejohanan ini. Saya kini membuat persiapan menghadapi Kejohanan Dunia di London Ogos ini," katanya kepada Bernama selepas perlawanan itu.

Juara All-England itu akan berdepan dengan Sourabh, pemain berusia 20 tahun yang melakukan dua kejutan besar apabila menumpaskan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia (21-18, 21-19) semalam dan pilihan ketujuh Kenichi Tago dari Jepun 21-19, 18-21, 21-11, Khamis.

"Dia (Sourabh) kini bermain dengan baik dan saya tidak sabar untuk menentangnya esok," kata Chong Wei, yang menang dua emas dalam acara perseorangan dan acara pasukan pada Sukan Komanwel Delhi, Oktober lepas.

Dalam satu lagi perlawanan, pemain veteran Denmark, Peter Gade dan pemain berpengalaman dari Indonesia, Taufik Hidayat, turut melangkah ke suku akhir selepas mengatasi lawan masing-masing pada pusingan kedua.

Gade menewaskan pemain Jepun, Shao Sasaki 21-12, 21-17 manakala Taufik mengalahkan pemain tuan rumah, P. Kashyap 21-17, 21-19.

Sementara itu, beregu campuran Malaysia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut layak ke suku akhir selepas mengatasi gandingan India, Akshay Dewalkar-Pradnya Gadre 21-18, 22-24, 21-12.

Kejohanan Terbuka India menawarkan hadiah wang tunai US$200,000 (RM595,401).

Artikel Sebelum

Artikel Lain