NEW DELHI: Pemain badminton nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei mempamerkan aksi mantap untuk menumpaskan pemain veteran dari Denmark Peter Gade Christensen dalam perlawanan akhir badminton Super Series Terbuka India di Siri Fort Sports Complex Ahad.Walaupun menang set pertama dengan 21-12 Chong Wei menghadapi tentangan hebat di set kedua, yang menyaksikan Gade dengan mudah bangkit untuk menguasai permainan untuk keputusan 21-12, namun di set ketiga Chong Wei kembali garang untuk memenanginya dengan 21-15. "Ia perlawanan yang amat sengit, dan saya kehilangan tumpuan pada set kedua," kata Chong Wei kepada media ketika ditemui selepas perlawanan, di venue yang sama yang menyaksikan beliau meraih dua pingat emas di Sukan Komanwel Delhi 2010 tahun lepas."Dalam usia 34 tahun, Peter masih pemain yang mantap, dia tidak mengalah sehingga ke akhir. Stadium ini pula amat bertuah bagi saya, saya harap dapat kembali ke India untuk bermain dalam super series berikutnya," tambahnya.Dalam perlawanan yang berlarutan hampir sejam itu Chong Wei yang menggabungkan pukulan cantik, smash yang tajam dan kekuatan mental, terus mengawal rentak pergerakan Gade, yang kalah 10 kali dalam 11 pertemuan dengan Chong Wei sehingga kini.Gade bagaimanapun bangkit untuk menguasai set kedua apabila Chong Wei kelihatan hilang tumpuan dan hilang kawalan. Chong Wei bagaimanapun kembali di set ketiga untuk memenanginya dengan 21-15, untuk bergelar juara super series buat kali ketiga.Peter Gade pula mengakui Chong Wei bermain dengan cukup baik, penuh tumpuan, dan keyakinan."Saya bermain dengan pemain terbaik dunia. Semuanya berkenaan keyakinan dan apabila Chong Wei muncul dengan penuh yakin, dia pasti tidak dapat ditewaskan."Saya berpeluang untuk menang selepas menguasai set kedua, saya berikan segalanya, tapi dia tidak dapat ditewaskan hari ini," katanya pemain ranking ke enam dunia itu. -BERNAMA