KUALA LUMPUR: Enam belas atlet Malaysia, 12 daripadanya atlet paralimpik, akan menyertai temasya Sukan Arafura yang akan berlangsung di Darwin, Australia bermula Sabtu ini.Pengarah Cawangan Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) Mohd Safrushahar Yusoff berkata daripada 12 atlet paralimpik tersebut, lima adalah atlet sukan ping pong dan tujuh lagi sukan powerlifting. "Sementara empat lagi adalah atlet normal sukan tinju. Kontinjen Malaysia ke temasya tersebut kesemuanya terdiri daripada 16 atlet dan 11 pegawai," katanya, Rabu.Sukan Arafura merupakan temasya dwi-tahunan, akan berlangsung sehingga 14 Mei dianjurkan bandar Darwin. Pertama kali dianjurkan pada 1991, temasya ini semakin mendapat sambutan dari seluruh dunia dan pada edisi 2009, sebanyak 30 negara mengambil bahagian melibatkan 3,000 atlet.Acara yang melibatkan atlet paralimpik bermula pada edisi 2007.Bagi edisi 2011, sebanyak 20 sukan dipertandingkan iaitu olahraga, bola keranjang, tinju, kriket, bola sepak, golf, hoki, menyelamat, muay thai, sepak takraw, menembak (clay), menembak (pistol IPSC), menembak (pistol ISSF), skuasy, renang, ping pong, tenpin boling, triathlon, bola tampar dan angkat berat.Mohd Safrushahar berkata secara keseluruhannya, temasya Arafura ini berada di kelas bawah daripada saingan Sukan SEA."Sebab itu MSN hanya menyertai tiga acara sahaja berbanding 20 acara yang ditawarkan," katanya.Katanya bagi atlet paralimpik yang bertanding dalam acara ping pong dan powerlifting, mata daripada temasya ini diambil kira dalam ranking dunia untuk kelayakan ke Sukan Paralimpik 2012 di London."Sementara bagi atlet tinju yang normal, saingan di temasya ini memberikan rakan-sparring dari kelas tinggi," katanya.-BERNAMA