suria

Azizulhasni, Fatehah Atlet TerbaikTerengganu

KUALA TERENGGANU: Dua atlet basikal negara Azizul Hasni Awang dan Fatehah Mustafa dinobat sebagai olahragawan dan olahragawati negeri Terengganu pada majlis anugerah sukan negeri di sini, Isnin.

Kedua-dua atlet itu masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 beserta piala pusingan, piala iringan, sijil kepujian dan wang tunai RM1,000 kepada persatuan yang diwakili mereka. Anugerah disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Azizulhasni ketika ditemui pemberita berkata kemenangannya untuk kali kedua berturut-turut itu adalah khas buat jurulatih, isteri dan keluarganya.

"Saya hargai pengiktirafan yang diberikan ini, ia menunjukkan kegigihan saya dihargai menerusi anugerah ini," katanya.

Bagi Fatehah pula, kejayaan yang dilakar itu merupakan sejarah yang tersendiri buat dirinya apabila sekali lagi dipilih sebagai olahragawati negeri.

"Saya tidak percaya sekali lagi nama saya diumumkan untuk menyandang sebagai olahrawati ini kerana rekod dan keputusan yang saya peroleh tahun lepas kurang memberangsangkan," katanya.

Sementara itu, Muhammad Adiq Husainie Othman dari sukan berbasikal dan Siti Rajiah Ali dari sukan kanu diumum sebagai olaragawan dan olahragawati harapan, manakala persatuan kanu negeri dipilih sebagai pasukan terbaik lelaki dan wanita.-BERNAMA

Artikel Lain