suria

Wan Jamak Berhadapan Masalah Kecederaan Pemain

ALOR SETAR: Jurulatih Kedah Wan Jamak Wan Hassan berhadapan dengan pilihan pemain yang terhad untuk membentuk skuad yang mantap bagi saingan Liga Super ketika ini berikutan tujuh pemainnya mengalami kecederaan atau tidak begitu cergas.

Masalah itu memberi kesan kepada pasukan itu apabila sekadar seri 1-1 dengan dengan Sabah pada perlawanan di Stadium Darul Aman di sini malam tadi, selain faktor padang yang basah dan becak.

Antara pemain utama yang masih dibelenggu dengan kecederaan adalah Mohd Fiqry Md Isa, Amar Rohidan, Azmi Muslim dan V. Thirumurugan.

Wan Jamak berkata pemain-pemain yang baru pulih pula tidak begitu cergas, menyebabkan mereka tidak beraksi pada tahap yang diharapkan.

Sehubungan itu, Wan Jamak berharap para pemainnya dapat pulih daripada kcederaan bagi membolehkan beliau mengatur beberapa strategi berkesan untuk memperoleh kemenangan di tempat sendiri menentang Selangor Isnin depan.

Mengulas mengenai perlawanan malam tadi, beliau berkata Kedah mempunyai banyak peluang terutamanya ketika mendapat hantaran lintang tetapi para pemain tidak bijak menggunakan peluang itu untuk mencipta jaringan.

"Saya rasa jika mereka manfaatkan peluang yang ada kita akan berada pada kedudukan yang lebih selesa dan sekaligus memperolehi mata penuh," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Rabu.

Selain itu Wan Jamak berkata faktor keletihan pemain juga menyebabkan mereka hilang fokus dan menyebabkan Sabah mendominasi perlawanan separuh masa kedua.

"Apa yang penting menteliti pemain perlu kuat dan semangat kerja berpasukan diperlukan bagi membolehkan mereka boleh bertahan hingga tamat perlawanan," katanya.

Dalam perlawanan malam tadi, Kedah beraksi dengan baik pada babak awal perlawanan dan memperolehi gol pertama pada minit ke-12 melalui Shafizan Hashim yang bijak menanduk kemas ke gawang Sabah melalui sepak sudut.

Selepas itu, pemain Kedah melakukan beberapa kesilapan membolehkan Sabah memperolehi gol penyamaan pada minit ke-41 melalui sepakan penalti yang disempurnakan oleh Md Farid Ideris.

Kedah kini menduduki tangga keempat liga dengan pungutan 28 mata. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain