suria

Chong Wei Lepasi Halangan Ketiga

ALOR SETAR: Datuk Lee Chong Wei menjadi wakil tunggal negara pada saingan suku akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Malaysia 2011 Jumaat setelah berjaya melepasi pusingan ketiga, Khamis.

Tiga lagi pemain Malaysia terkandas dalam saingan di Stadium Sultan Abdul Halim di sini.

Bagaimanapun, pasangan muda negara Mohd Lutfi Zaim Abdul Khalid-Vountus Indra Mawan melakukan kejutan dalam acara beregu apabila menewaskan pasangan keenam dunia Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia pada pusingan kedua untuk mara ke suku akhir.

Pasangan nombor 80 dunia itu menewaskan pilihan kedua kejohanan itu 21-13 18-21 dan 21-13 dalam masa 39 minit.

Walaupun berdepan pemain handalan dunia, pasangan berusia 22 tahun itu beraksi dengan baik dan tidak menghampakan penonton yang membanjiri stadium tersebut.

Mereka akan bertemu pasangan Korea Cho Gun Woo-Kwon Yi Goo, yang merupakan pilihan kelapan.

Chong Wei pula menepati ramalan mara ke pusingan seterusnya walaupun diberikan tentangan sengit oleh Tommy Sugiarto dari Indonesia, sebelum menang 21-19 dan 21-19.

Beliau akan bertemu pemain Perancis, Brice Leverdez.

Sementara itu, tiga pemain harapan negara bagi perseorangan lelaki terkandas pada pusingan ketiga.

Mohammad Hafiz Hashim tewas kepada pemain pilihan ketiga dari Vietnam Nguyen Tien Minh dengan mata 21-19, 18-21 dan 6-21, Wong Jiann Tze kecundang di tangan Leverdez 21-14, 9-21 dan 15-21 manakala Daren Liew tunduk 14-21 dan 12-21 kepada pemain Korea Lee Hyun Il, yang merupakan pilihan kelapan.

Bagi beregu lelaki, pasangan nombor satu negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut mara ke saingan suku akhir mara setelah menundukkan rakan senegara iaitu pasangan muda Chooi Kah Ming-Ow Yao Han 21-9, 21-13.

Hari ini mereka akan bertemu pilihan keenam Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa dari Jepun.

Bagi beregu campuran, dua pasangan negara mara ke suku akhir iaitu gandingan Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari-Ng Hui Lin, yang menewaskan rakan senegara Tan Wee Kiong-Woon Khe Wei 21-15, 16-21, 21-17, dan pasangan Chan Peng Soo-Goh Liu Ying, pilihan keenam, yang menjinakkan gandingan Korea Kim Ki Jung-Jung Kyung Eun (KOR) 21-7, 21-18.

Bagi beregu wanita, cabaran negara berakhir apabila pasangan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty tewas kepada gandingan Ying Luo-Yu Luo dari China 20-22, 22-20 dan 9-21. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain