KUALA LUMPUR: Kelantan gagal memintas Selangor di persada Liga Super apabila hanya seri tanpa jaringan dengan Negeri Sembilan pada perlawanan tunggal liga itu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam Selasa.Keputusan tersebut menyaksikan Kelantan menduduki tangga kedua liga dengan mengumpul 40 mata, kurang dua mata di belakang Selangor. Kelantan memulakan perlawanan dengan agresif dan menguasai babak pertama tetapi jentera serangan yang diterajui penyerang negara Norshahrul Idlan Talaha gagal memanfaatkan beberapa peluang yang terhidang.Bagaimanapun, Negeri Sembilan berjaya mengimbangi gerakan lawan dan sesekali melakukan percubaan ke gawang Kelantan, namun penyudah yang tumpul telah menafikan gol yang dicari.Kelantan hampir memecah kebuntuan gol pada minit ke-33 menerusi rembatan S. Chanturu namun tidak dikira oleh pengadil perlawanan, Shokri Nor kerana 'offside'.Negeri Sembilan berpeluang menjaringkan gol pada minit ke-43 namun tandukan cantik Shukor Adan berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Red Warriors, Khairul Fahmi Che Mat.Sementara itu, pada dua perlawanan Liga Perdana, pasukan USM FC melonjak ke tangga kelima liga selepas seri 1-1 menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Olahraga USM, Pulau Pinang.Keputusan itu menyaksikan skuad anak didik S. Veloo sekadar mengutip satu mata dengan mengumpul 28 mata di belakang Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipisahkan dengan kekurangan dua mata.Di Johor Bharu, Mohd Fitri Omar menjaringkan gol pada minit terakhir perlawanan (min-90) untuk membantu pasukan Kelab MP Muar mengatasi Johor 1-0 di Stadium JCorp, Pasir Gudang.Kemenangan kelapan tersebut membolehkan MP Muar naik tiga anak tangga untuk berkongsi 27 mata bersama Johor selepas 18 perlawanan.-BERNAMA