suria

Gol Steven Edwards Tutup Peluang Malaysia Raih Mata Pertama

IPOH: Gol jaringan Steven Edwards pada saat akhir permainan menutup harapan negara untuk meraih mata pertama selepas tewas 2-3 ketika turun menentang New Zealand dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di sini Rabu.

Pasukan negara yang tewas dalam tiga perlawanan sebelum ini, memulakan permainan dengan baik dan hampir mendahului permainan tetapi Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin yang berpeluang menjaringkan gol pada minit ke-8 gagal berbuat demikian.

Nicolas Wilson meletakkan New Zealand di depan selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-16 permainan.

Malaysia yang ketinggalan 1-0 terus menggasak dan cuba mencari gol penyamaan tetapi gandingan Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil dan Faizal Saari gagal menghantar bola dengan kemas untuk disudahkan.

Selepas melancarkan serangan bertali arus, bola tolakan Tengku Ahmad Tajuddin berjaya dipukul terus Muhammad Izzat Mohd Rahim menolak masuk ke pintu gol lawan menewaskan penjaga gol Stephen Graham.

Terikat 1-1, kedua-dua pasukan melancarkan serangan bagi mencari gol pendahuluan tetapi serangan dan pertahanan New Zealand nampak lebih mantap dan pasukan negara yang cuma menggasak keras pada 10 minit pertama permainan.

Bermula babak kedua, New Zealand terus melancarkan serangan demi serangan tetapi berjaya dikekang penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin yang bermain cemerlang pada Rabu.

Gol kedua New Zealand muncul pada minit ke-57 permainan melalui, Stephen Jenness yang menyempurnakan tolakan Hugo Inglis menewaskan Roslan.

Ketinggalan 1-2, pasukan negara mula menggasak kembali tetapi serangan-serangan yang dilakukan berjaya ditangkis pertahanan New Zealand sehinggalah Izwan Firdaus dijatuhkan dalam kawasan D New Zealand pada minit ke-67 permainan.

Malaysia yang diberikan pukulan sudut penalti, berjaya menyempurnakannya melalui Faizal Saari dan menyamakan kedudukan 2-2.

Bagaimanapun gol Steven pada saaat akhir permainan telah menutup ruang Malaysia untuk meraih mata pertama.- BERNAMA

Artikel Lain