suria

Juara Dunia Benam Korea

IPOH: Juara dunia, Australia meneruskan penguasaan dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah kali ini selepas menewaskan Korea 4-2 petang Rabu.

Australia yang pernah merangkul juara pada 1983, 1998, 2004, 2005 dan 2007, kini di tangga pertama selepas mengutip 10 mata meninggalkan Britain satu mata di belakang.

Cuaca mendung memberikan kelebihan kepada Australia untuk memulakan permainan dengan baik dan menjaringkan tiga gol pada separuh pertama manakala Korea Selatan hanya mampu membalas satu gol.

Pukulan Timothy Deavin dan Mark Peterson pada minit ke-8 dan 12 meletakkan pasukan juara lima kali itu di hadapan sementara tolakan You Hyo Sik pada minit ke-15 berjaya merapatkan jurang kepada 2-1.

Seminit sebelum tamat babak pertama, giliran Glenn Turner meledak bola masuk menjarakkan jaringan kepada 3-1.

Bermula babak kedua, Korea Selatan terus mengasak mencari gol dan jaringan Hyun Hye Sung lima minit selepas bermula separuh masa meletakkan kedudukan 3-2.

Permainan mula seimbang selepas itu dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi Australia lebih bernasib baik selepas pukulan Mark Peterson pada minit ke-67 gagal ditampan Lee Myung Ho menyebabkan Korea Selatan tewas 2-4.

Sementara itu, dalam perlawanan berasingan Pakistan yang ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama bangkit menewaskan India 3-1.

India hampir di hadapan pada minit ke-14 permainan tetapi jaringan Shivendra Singh telah dibatalkan.

Tujuh minit kemudian Rupinder Pal Singh meletakkan India di hadapan 1-0 selepas menolak masuk bola menewaskan Imran Shah.

Pukulan sudut penalti yang diperoleh India di minit terakhir permainan telah diselamatkan Imran Shah dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat permainan.

Bermula babak kedua, Pakistan memulakan asakan tetapi pukulan Rehan Butt pada minit-38 diikuti tolakan Shakeel Abbasi seminit selepas itu diselamatkan penjaga gol India, Adrian Joseph Albert D'Souza.

Serangan bertali arus Pakistan akhir membuahkan hasil apabila tolakan Muhammad Umar Bhutta pada minit ke-49 gagal disekat dan membolosi pintu gol India menjadikan kedudukan 1-1.

Pakistan mula menjarakkan permainan melalui kapten pasukan, Imran Muhammad yang menolak kemas pukulan sudut penalti pada tujuh minit selepas itu meninggalkan India 2-1.

Dua minit kemudian, giliran Sohail Abbas pula memukul deras pukulan sudut penalti meletakkan Pakistan di hadapan 3-1, ketinggalan 3-1 India mula mengasak cuba mencari gol tetapi pertahanan Pakistan menafikan cubaan-cuban yang diatur.

Dua pukulan sudut penalti yang diberikan kepada India pada minit akhir permainan gagal dimanfaatkan dan keputusan kekal 3-1.- BERNAMA

Artikel Lain