suria

Ciriello Bantu Australia Julang Trofi Buat Kali Keenam

IPOH: Christopher Ciriello menghasilkan jaringan emas pada minit ke-83 untuk membantu juara dunia Australia merangkul kejuaraan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-20, di sini, malam Ahad.

Australia menewaskan Pakistan 3-2 pada masa tambahan perlawanan akhir untuk menjulang trofi kejohanan buat kali keenam selepas muncul juara edisi pertama pada 1983.

Australia memenangi kejohanan tahunan itu pada 1983, 1998, 2004, 2005 dan 2007.

Australia, yang mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan pusingan awal, menjaringkan gol pembukaan menerusi Ciriello menerusi pukulan sudut kedua pada minit ke-11.

Pakistan, yang tewas 1-5 kepada Australia pada pusingan awal, menampilkan persembahan yang cukup bertenaga dengan melancarkan gerakan kemas dan merbahaya di pintu gol lawan.

Pergelutan di dalam kawasan D Australia pada minit ke-30 berjaya mendapatkan pukulan sudut penalti yang akhirnya disempurnakan oleh Sohail Abbas bagi menyamakan kedudukan 1-1 pada separuh masa.

Australia kembali semula dengan langkah kanan apabila menggandakan asakan dan memperoleh gol kedua melalui Glenn Turner pada minit ke-44.

Pakistan, bagaimanapun, tetap memberi tentangan sengit dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-62 menerusi Rehan Butt.

Australia berpeluang menambah gol dua minit kemudian tetapi pukulan Ciriello berjaya ditampan penjaga gol Pakistan, Imran Shah, dan memaksa perlawanan dilanjutkan dengan masa tambahan.

Imran bertindak cemerlang dengan menyelamatkan dua percubaan pukulan sudut penalti oleh Australia sebelum Ciriello menyumbat jaringan emas menerusi pukulan sudut penalti.

Sementara itu, dalam perlawanan penentuan, Britain mengalahkan New Zealand 4-2 untuk menduduki tempat ketiga manakala Korea Selatan mengalahkan India 2-1 untuk tempat kelima.

PEMAIN TERBAIK KEJOHANAN: ------------------------- Penjaga Gol: S. Kumar (MALAYSIA)

Pertahanan: Rupinder Pal Singh (India),

Dean Couzins (New Zealand), Glen

Kirkham (Britian), Fergus Kavanagh (Australia).

Pemain Tengah: Shakeel Abbasi (Pakistan), Steven Edwards (New Zealand), Simon Orchard (Australia).

Penyerang: You Hyo Sik (Korea Selatan), Glenn Turner (Australia), Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil (MALAYSIA).-BERNAMA

Artikel Lain