suria

Kedah Tewaskan Perlis 2-0

ALOR SETAR: Kedah bangkit daripada prestasi hambar pada separuh masa pertama untuk mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Perlis pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman di sini malam Rabu.

Gol-gol dijaringkan pada minit ke-47 hasil jaringan sendiri oleh ketua pasukan Perlis, Azmizi Azmi dan Mohd Faizal Abu Bakar pada minit ke-51.

Selepas terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, Kedah memperkukuhkan corak permainan dan dua minit selepas permainan bersambung tuan rumah berjaya memecahkan kebuntuan.

Gol itu diperoleh apabila berlaku salah faham antara Azmizi dengan penjaga gol, Amini Ahmad Tabarani yang tidak berada pada kedudukan tepat untuk menangkap bola tandukan Azmizi.

Empat minit kemudian, tuan rumah menambah derita Perlis apabila pemain gantian, Mohd Faizal menjaringkan gol kedua Kedah setelah menerima hantaran lintang daripada V. Thirumurugan.

Perlis terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Hadi Syahmi Hamzah dibuang padang setelah menerima kad kuning kedua pada minit ke-55 apabila melakukan kekasaran kepada Ahmad Fauzi Shaari.

Pasukan Perlis yang tertekan, pemain berusaha mencari gol penyamaan tetapi berjaya disekat oleh pertahanan Kedah dan penjaga gol Mohd Helmi Eliza.

Kedah yang menguasai permainan hampir berjaya menambah gol pada minit ke-79 dan ke-90 tetapi percubaan Badrol Bahtiar berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Perlis.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain