suria

Ganjaran Buat Pemain Terengganu Jika Bawa Pulang Piala FA

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan negeri akan memberi ganjaran kepada pasukan Terengganu jika berjaya membawa pulang Piala FA pada perlawanan akhir menentang Kelantan 11 Jun ini.

Katanya kerajaan negeri akan menilai dan mengkaji bentuk ganjaran yang akan diberikan kepada pasukan itu nanti.

"Kami memikirkan ganjaran yang diberikan mestilah sesuatu yang mempunyai nilai tambah dan memberikan kepentingan kepada masa depan pemain. Bentuk ganjaran yang akan diberikan akan diumumkan tidak lama lagi," katanya.

Menurut Ahmad, beliau berharap Irfan Bakti dan barisan pemain dapat menajamkan jentera serangan untuk perlawanan akhir nanti.

Pada perlawanan separuh akhir Isnin, Terengganu berjaya mengalahkan Pahang dengan jaringan 2-0.

Ini sekaligus melayakkan Terengganu ke final dengan agregat 5-2 apabila dua gol masing-masing dijaringkan oleh Abdul Hadi Yahaya pada minit ke-36 dan pemain gantian, Mohd Alimi Fahmi Kamaruddin pada minit ke-85.

Dengan kemenangan yang dicatat sang penyu itu sekaligus menamatkan penantian selama tujuh tahun untuk beraksi di pentas final piala itu.

Jurulatih pasukan itu, Irfan Bakti Abu Salim berkata beliau tidak mahu membuat jangkaan awal kerana sedang memberi tumpuan pada saingan liga super dan berjanji akan melakukan yang terbaik.

"Alhamdullilah setelah tujuh tahun kita gagal mara ke final akhirnya peluang untuk beraksi di pentas akhir itu terlaksana juga."

Untuk rekod, Terengganu kali terakhir layak ke final saingan Liga Malaysia ialah pada perlawanan akhir Piala FA tahun 2004 yang menyaksikan pasukan dari pantai timur itu tewas 0-3 di tangan Perak.

Sebelum itu, Terengganu telah dua kali melangkah ke pentas yang sama iaitu pada tahun 2000 yang menyaksikan mereka muncul juara selain pada tahun 1999 ketika tewas kepada Kuala Lumpur.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain