PUTRAJAYA: Kerajaan sentiasa berikhtiar untuk memaju dan memanfaatkan pelbagai aktiviti sukan kepada masyarakat, menyedari aktiviti-aktiviti sukan mampu untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dan mewujudkan masyarakat Malaysia yang cergas.Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan juga sentiasa berusaha untuk melahirkan bakat-bakat baru yang berpotensi dalam bidang itu, serta menggalakkan peningkatan tahap kesihatan dan kecergasan fizikal di kalangan rakyat. Dalam ucapannya pada majlis penutup Kejohanan Dragon Boat dan Hari Keluarga Jabatan Perdana Menteri 2011 di Kompleks Sukan Air Putrajaya di sini Ahad, katanya, beliau berbangga kerana penganjuran hejohanan ini yang boleh dianggap sebagai usaha untuk mencapai hasrat dan aspirasi kerajaan agar sukan dijadikan sebagai elemen penyumbang kepada galakkan pertandingan yang sihat.Menurutnya sukan juga boleh menjadi penghubung silaturrahim, di mana sikap toleransi dan kesefahaman serta bekerja sebagai satu pasukan dapat dikukuh dan dipertingkatkan."Di samping itu adalah diharapkan agar semangat kesukanan yang lahir daripada kejohanan ini akan menjadi asas penting dalam usaha melahirkan masyarakat bersukan di kalangan warga perkhidmatan awam," katanya.Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, dan majlis penutup itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.Muhyiddin berkata penganjuran kejohanan itu juga memberi peluang kepada warga Jabatan Perdana Menteri bertanding dan mendekatkan diri dengan sukan air khasnya sukan Dragon Boat seterusnya menjadikannya pengerak kepada sukan ini."Pemilihan lokasi Kompleks Sukan Air Putrajaya sebagai venue kejohanan adalah satu langkah baik dan dapat membantu mempromosikan sukan Dragon Boat kepada masyarakat kita dan juga Putrajaya sebagai pusat kegiatan sukan air yang terbaik di rantau ini," katanya.-BERNAMA