suria

33 Kes Pertindihan Pendaftaran Atlet Selesai

KUALA LUMPUR: Sebanyak 33 kes melibatkan pertindihan pendaftaran atlet dapat diselesaikan menjelang edisi ke-14 Sukan Malaysia di sekitar Lembah Klang dari 2 hingga 12 Jun ini.

Dua kes lagi masih tergantung dan hukuman digantung atau diharamkan penyertaan menanti atlet berkenaan, kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukan Malaysia, Datuk Abdul Jalil Abdullah.

Beliau, yang juga Pengarah Bahagian Pengurusan Sukan Mjalis Sukan Negara (MSN), berkata dua kes yang masih tergantung melibatkan seorang atlet dari acara bola tampar dan seorang dari tenis.

Katanya ada kes pertindihan pendaftaran yang melibatkan kes tulen seperti atlet berasal dari negeri lain tetapi bekerja di negeri lain dan didaftar oleh kedua-dua negeri itu.

"Kes begini adalah biasa dan jawatankuasa pendaftaran yang dianggotai oleh semua pengarah MSN negeri akan segera menyelesaikannya," katanya kepada pemberita, di sini, Sabtu.

Namun terdapat kes pertindihan pendaftaran yang unik apabila seorang atlet didaftarkan oleh tiga negeri, katanya.

Abdul Jalil tidak menolak kes itu berlaku kerana atlet tersebut, yang berasakan dirinya terbaik dalam sesuatu sukan itu, menawarkan diri untuk mewakili negeri yang menawarkan elaun latihan dan ganjaran tertinggi.

Ketua Pengarah MSN Datuk Zolkples Embong sebelum ini mendedahkan kes seorang perenang yang diharamkan bertanding di Sukan Malaysia di Kedah pada 2006 selepas didaftarkan oleh dua negeri.

Selepas siasatan, perenang itu didapati tidak mahu mewakili negeri asalnya kerana mendapat tawaran yang lebih baik dari sebuah negeri lain.

Abdul Jalil mengingatkan negeri-negeri supaya lebih telus dengan tidak membariskan terlalu ramai atlet kebangsaan untuk mengejar pungutan pingat pada temasya tersebut.

"Walaupun MSN membenarkan penyertaan atlet kebangsaan, namun ada syarat. Sebagai contoh, bagi acara berpasukan, sesebuah negeri hanya boleh menyenaraikan tiga atlet kebangsaan," katanya.

Katanya pada Sukan Malaysia yang lepas, terdapat sebuah negeri yang menyenaraikan tujuh pemain kebangsaan dalam skuad hoki mereka tetapi pasukan tersebut hanya mampu ke peringkat separuh akhir. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain