suria

Hamilton Dakwa Armstrong Ambil Dadah

PELUMBA Tyler Hamilton yang dibenarkan membawa pulang pingat emas pada Sukan Olimpik, Athens walaupun gagal ujian pemeriksaan dadah akhirnya membuat pendedahan bahawa dia telah berbohong dan mendakwa Lance Armstrong (gambar) turut melakukan perbuatan sama.

Dalam temubual selama 60 minit pada Ahad, Hamilton mengaku mengambil dadah untuk mengekalkan prestasinya pada tahap terbaik.

Pelumba berusia 40 tahun itu turut mendedahkan bekas rakan sepasukannya, Armstrong juga melakukan perkara sama ketika perlumbaan Tour de France yang menyaksikan beliau muncul juara.

"Armstrong turut mengambil EPO (eritropoietin)...testosteron...satu pemindahan dadah. Saya terlihat dia menyuntik EPO lebih daripada sekali," katanya.

Juara Tour de France sebanyak tujuh kali itu sentiasa menafikan dirinya mengambil bahan terlarang tersebut malah menepis dakwaan itu berulang kali walaupun tidak pernah gagal dalam ujian pemeriksaan dadah sebelum ini.

Peguam beliau, Mark Fabiani memberitahu Reuters bahawa dakwaan Hamilton terhadap Armstrong tidak benar sama sekali.

"Hamilton kelihatan begitu terdesak untuk mendapatkan wang dengan menulis sebuah buku. Kini, dia mengubah cerita yang pernah ditulisnya sebelum ini.

"Namun individu yang terlalu dahagakan publisiti tidak dapat merubah kenyataan bahawa Lance Armstrong merupakan atlet terunggul dalam sejarah sukan," kata Fabiani.

Artikel Lain