PENGURUS Manchester United Sir Alex Ferguson akan terus memberi kepercayaan kepada Ryan Giggs untuk mengemudi bahagian tengah pasukannya dalam pertemuan dengan Barcelona dalam perlawanan akhir Piala Juara-Juara Eropah Ahad ini di Stadium Wembley, London walaupun pemain veteran itu kini sedang bergelumang dengan skandal.Anggota parlimen dari Parti Liberal-Demokrat John Hemmings telah menggunakan imuniti Dewan Rakyat untuk menamakan Giggs sebagi bintang bolasepak yang memperolehi injunksi Mahkamah Tinggi untuk menghalang namanya daripada disebut sebagai orang yang terlibat dalam skandal dengan seorang supermodel dan juga bekas Ratu Wales, Imogen Thomas. Hemmings menggunakan alasan hak istimewa yang beliau perolehi sebagai ahli parlimen untuk membuat pendedahan itu malah menegaskan sebelumnya, lebih 75,000 orang telahpun menyebut nama Giggs dalam laman sosial Twitter.“Adalah tidak masuk akal untuk memenjarakan setiap seorang yang menyebut nama Giggs dalam laman sosial Twitter,” kata Hemmings dalam usahanya menjustifikasikan tindakannya itu.Walaupun Speaker John Bercow cuba untuk menghalang Hemmings daripada terus menyebut nama bintang Manchester United itu tetapi usahanya gagal.Dan akibat daripada pendedahan umum yang dibuat oleh Hemmings itu, beribu ribu pengguna Twitter sekali lagi menggunakan kemudahan tersebut untuk menyebarkan berita dan maklumat berkenaan.Giggs telah menggunakan satu peruntukkan undang-undang privasi dengan memperolehi injunksi mahkamah untuk melindungi namanya dari disebut oleh mana-mana media atau oleh mana-mana pihak berkaitan skandal tersebut.Skandal tersebut yang mula diperkatakan secara umum apabila sebuah akhbar Scotland Sunday Herald yang tidak tertakluk kepada undang-undang privasi England telah melaporkan di muka surat hadapannya dengan wajah Giggs tertera besar tetapi matanya ditutup oleh satu garisan hitam.Ini telah mendorong Sir Alex untuk memanggil Giggs pada Isnin bagi membincangkan isu tersebut secara mendalam dan bagi mengetahui apakah pemainnya itu tidak akan terjejas untuk bermain Ahad ini.Dan jawapan yang pengurus itu terima ialah “Ya!Saya bersedia untuk bermain...” Pemain itu juga dilaporkan meminta izin daripada Ferguson untuk turun bermain dalam perlawanan amal Gary Neville pada Selasa malam di Old Trafford sebagai penghormatan kepada kawan baiknya itu.Ferguson khabarnya turut membenarkan permintaan Giggs itu.Pertemuan dengan Giggs itu telah memuaskan hati Ferguson bahawa pemain tengahnya itu berada dalam pemikiran yang stabil untuk turun bermain menentang Barcelona nanti.Ferguson, yang baru sahaja dinobatkan sebagai pengurus terbaik 2011 oleh Persatuan Pengurus-pengurus Liga malam semalam akur bahawa media massa pada era ini sukar dikawal daripada memperkatakan tentang hal peribadi pemain profesional.Kini, satu-satunya isu yang sedang bermain dalam fikiran Ferguson ialah bukannya tentang soal skandal Ryan Giggs tetapi ialah sama ada akan menurunkan penyerang sensasi Mexico Javier Hernandez atau lebih dikenali sebagai Chicharito atau mengorbankan penyerang itu di bangku simpanan bagi membolehkannya meletakkan seorang lagi pemain tengah untuk mengekang pergerakan Lionel Messi.Jika itulah yang menjadi pilihan Ferguson, ada kemungkinan beliau akan menurunkan Darren Fletcher di samping Giggs, Nani, Valencia dan Park Ji-Sung. Ini bakal menyaksikan Ferguson bergantung harap kepada Wyane Rooney sebagai penyerang tunggal dalam perlawanan akhir tersebut. Sementara itu, David Beckham yang bakal bermain dalam perlawanan amal Gary Neville malam ini menegaskan, pasukan terkini Alex Ferguson wajar mendapat pengiktirafan di kalangan pemain-pemain terhebat Old Trafford pernah saksikan.“Anda tidak boleh minta lebih daripada apa yang telah disumbangkan oleh pasukan ini sekarang,” ujar Beckham.