suria

Stadium Nasional: Kontraktor Diminta Kurangkan Amaun

SUBANG: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan meminta kontraktor yang mengendali kerja pembaikan Stadium Nasional Bukit Jalil mengurangkan kadar bayaran RM500,000 kepada satu amaun yang dianggap munasabah.

Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad berkata rundingan berhubung pengurangan amaun itu bermula Selasa, dan tawaran balas akan dikemukakan dalam tempoh dua minggu selepas itu.

"Ini merupakan situasi menang-menang, dan saya percaya semua pihak, termasuk peminat bola sepak tempatan, akan mendapat untung kerana dapat melihat skuad bola sepak kebangsaan beraksi menentang lawan masing-masing," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sidang akhbar Arsenal jelajah Asia, Selasa.

Beliau berkata FAM akan membayar sewa stadium untuk pasukan kelab Liga Perdana Inggeris iaitu Chelsea, Arsenal dan Liverpool, yang dijadual hadir Julai depan, kepada Perbadanan Stadium Nasional.

"Kita juga bayar kadar sewa pada perlawanan Piala FA dan dua lagi perlawanan melibatkan pasukan skuad negara," katanya.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata adalah wajar jika FAM dapat menanggung kos penangguhan pembaikan trek Stadium Nasional Bukit Jalil yang mencecah RM500,000.

Perlawanan anjuran FAM di stadium itu termasuk perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Terengganu 11 Jun ini, perlawanan persahabatan skuad negara bersama tiga kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris berkenaan, kelayakan kedua Olimpik menentang Lubnan dan kelayakan pertama Piala Dunia menentang Taiwan.

FAM terpaksa membayar kos penangguhan kerja baik pulih trek di stadium itu jika mahu menggunakannya sebagai venue perlawanan selepas kerja-kerja tersebut tertangguh beberapa kali, yang terakhir bagi memberi laluan perlawanan antara Malaysia dan Indonesia untuk merebut Piala AFF Suzuki hujung tahun lalu.

Azzuddin berkata jika skuad kebangsaan Piala Dunia berjaya memenangi perlawanan kelayakan pertama menentang Taiwan, Stadium Nasional Bukit Jalil sekali lagi akan menjadi venue pasukan negara menentang Singapura pada kelayakan kedua nanti.

Sementara itu, Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata FAM akan memaklumkan media mengenai pembayaran kos tersebut.

"Kita akan tentukan dan selesai bayaran kepada pihak stadium...berapa nilai dan tarikhnya, akan saya umumkan nanti," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain