suria

Sukma 2011: Usaha 'Mendemokrasikan' Sukan Di Negara Ini

KUALA LUMPUR: Temasya Sukan Malaysia ke-14 (Sukma) akan membuka tirainya pada Khamis dengan mempertandingkan 19 acara sukan yang dikategorikan sebagai sukan bukan pilihan di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang.

Jika sebelum ini Sukma diadakan dua tahun sekali tetapi bermula pada tahun ini, temasya sukan tersebut akan menjadi acara tahunan dalam kalendar sukan negara.

Majlis Sukan Negara (MSN) akan menjadi penganjur pada setiap tahun ganjil yang melibatkan sukan bukan pilihan manakala negeri-negeri pula akan bergilir-gilir menjadi penganjur pada tahun genap yang hanya melibatkan sukan wajib.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sukan MSN Datuk Abdul Jalil Abdullah menyifatkan penganjuran Sukma pada setiap tahun dapat 'mendemokrasikan' semua acara sukan termasuk sukan yang kurang popular.

"Kita tidak hanya menberi tumpuan kepada acara wajib kerana beberapa acara sukan tertentu yang kurang popular juga dipertandingkan pada peringkat Sukan SEA, Sukan Komanwel mahupun diperingkat Sukan Asia.

"Ada kalanya sukan bukan pilihan ini memberi peluang untuk kita mengutip lebih pingat pada temasya sukan tersebut maka wajar juga pembangunan sukan tersebut diberi perhatian," katanya kepada Bernama, Rabu. Acara sukan yang dipertandingkan pada Sukma tahun ini ialah akuatik (polo air dan renang berirama), berbasikal (trek), bina badan, bola baling, bola jaring, bola keranjang, futsal, bola tampar pantai, judo, kabaddi, kanu, kriket, lawan pedang, mendayung, ping pong, ragbi, silambam, sofbol dan tenis.

Ia akan diadakan sehingga 12 Jun ini di 17 venue di ibu negara, Bangi dan Shah Alam, Selangor.

Abdul Jalil berkata bagi edisi kali ini, MSN membuat ketetapan hanya atlet di bawah umur 21 tahun diberi peluang untuk mengambil bahagian bagi mencungkil lebih ramai bakat muda berpotensi bagi dimajukan ke peringkat yang lebih tinggi.

"Bakat baru dalam usia muda diperlukan bagi memastikan bahawa atlet tersebut telah mampu menjadi atlet kebangsaan pada usia seawal 23 tahun dan ia adalah bersesuaian dengan objektif pembangunan sukan negara untuk melahirkan lebih ramai atlet muda," katanya.

Abdul Jalil berkata bagi menjaga kualiti pertandingan, penganjur membuat ketetapan hanya acara yang mempunyai sekurang-kurangnya lima penyertaan dari negeri yang mengambil bahagian sahaja akan dipertandingkan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan merasmikan Sukan Malaysia Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Cheras pada 5 Jun ini.

Acara penutup pula akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Mini Stadium Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada 12 Jun.

Seramai 3,336 atlet dan 1,456 pegawai termasuk jurulatih akan mengambil bahagian pada temasya sukan tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain