suria

Chong Wei Mahu Peminat Indonesia Menyokongnya

JAKARTA: Pemain badminton Nombor Satu Dunia Datuk Lee Chong Wei meminta para peminat Indonesia supaya menyokong beliau dalam usaha merangkul gelaran juara perseorangan kejohanan badminton Terbuka Indonesia buat kali ketiga berturut-turut.

Beliau kini berada di laluan yang betul berikutan kemenangannya dalam pusingan pembukaan ke atas pemain Indonesia Tommy Sugiarto dengan 21-16, 21-8 dalam masa 33 minit di Istora Senayan di sini, Rabu.

Chong Wei memenangi gelaran itu pada 2009 dan 2010 dan jika beliau memenangi kejuaraan itu pada Ahad ini, ia akan tercatat dalam rekod menjadi rakyat bukan Indonesia yang pertama memenangi gelaran juara perseorangan sebanyak tiga kali.

Pemain badminton Indonesia Ardy Wiranata melakukannya pada 1990, 1991 dan 1992 sebelum pemenang pingat emas Sukan Olimpik Athens Taufik Hidayat, pemain Indonesia yang paling menonjol itu memenangi kejuaraan itu pada 2002, 2003 dan 2004.

Adakah kali ini giliran Chong Wei pula.

"Saya juga berharap dan percaya sesiapa yang bertanding di sini juga mahu memenangi gelaran kejuaraan dalam kategori masing-masing dan saya berharap para peminta Indonesia akan menyokong saya sepanjang kejohanan ini bagi merangkul gelaran itu," kata Chong Wei selepas menewaskan Sugiarto.

Walaupun pada awal perlawanan beliau ketinggalan 1-5, Chong mendapat semula rentak permainannya dan menyamakan kedudukan mata sebelum laluan seterusnya begitu mudah.

"Saya telah bermain dengannya sebanyak tiga kali tahun ini termasuk hari ini dan saya dapat membaca rentak permainannya. Agak mudah bagi saya hari ini, tapi saya perlu tumpukan perhatian dan tidak memandang mudah lawan selepas ini," katanya.

Walaupun Chong Wei terus mara ke perlawanan seterusnya, pasangan bergu Malaysia, Gan Teck Chai dan Tan Bin Shen gagal dalam kempen mereka apabila tewas 1-21, 19-21 kepada pemain Jepun, Naoki Kawamae dan Shoji Sato. - BERNAMA

Artikel Lain