suria

Sukan (Badminton): Chong Wei Juara Terbuka Indonesia Buat Kali Ketiga Berturut-turut

JAKARTA: Jaguh negara Datuk Lee Chong Wei muncul juara Super Siri Terbuka Indonesia buat kali ketiga berturut-turut apabila mengalahkan Peter Gade pada perlawanan akhir di Stadium Istora Senayan, di sini, Ahad.

Chong Wei melakarkan sejarah pada kejohanan tersebut setelah menjinakkan pemain veteran Denmark itu 21-11, 21-17.

Pencapaian itu menjadikan Chong Wei menjadi pemain bukan Indonesia pertama merangkul kejuaraan hatrik dan melakar nama sebaris dengan wira tempatan Ardy iranata dan Taufik Hidayat.

Bagi Chong Wei, pemain nombor satu dunia, kejuaraan itu agak mudah selepas cabaran Gade luntur di sebalik permainan pantas dan serangan yang dilakukan oleh pemain negara itu.

Chong Wei mengambil masa hanya 15 minit untuk memenangi set pertama 2-11 dengan corak permainan pantas membuat Gade berhempas pulas untuk menyelamatkan setiap serangan.

Chong Wei mengekalkan rentaknya dengan mendahului 11-4 pada set kedua sebelum menamatkan perlawanan dengan 21-7.

"Jarang sekali anda lihat Gade menyerah kalah begitu sahaja dalam gelanggang tetapi hari ini dia memang melakukannya. Saya banyak menghormati dia sebagai pemain yang enggan mengaku kalah," kata Chong Wei.

Dalam pada itu, Gade berkata beliau tidak dapat menandingi ketangkasan Chong Wei yang melakukan pelbagai corak serangan.

"Chong Wei telalu kuat bagi saya," kata Gade, pemain berusia 34 tahun itu yang membawa pulang wang tunai US$22,800 (RM69,323).

Chong Wei pula menerima hadiah wang tunai US$45,000 (RM136,822).

Kejohanan super siri akan berhenti rehat untuk memberi peluang kepada pemain sebelum menghadapi Kejohanan Dunia di London,, Ogos ini.

Chong Wei menjadi perhatian pasukan China selepas enam pemain terbaik mereka termasuk jaguh Olimpik, Lin Dan, gagal ke final di sini.

Pegawai pasukan China meletakkan kamera di empat penjuru gelanggang untuk merakamkan aksi Chong Wei pada perlawanan akhir.

Bagaimanapun, China pulang dengan dua gelaran iaitu beregu lelaki, beregu wanita dan perseorangan wanita.

Bekas juara dunia Cai Yun dan Fu Haifeng merangkul gelaran beregu lelaki apabila menumpaskan beregu senegara Chan Biao dan Guo Zhengdong 21-13, 21-12 manakala beregu wanita Wang Xiaoli/Yu Yang mengatasi beregu tuan rumah Vita Marissa/Nadya Melati 21-12, 21-10.

Dalam pada itu, juara bertahan Saina Nehwal gagal merangkul gelaran buat kali ketiga dalam acara perseorangan wanita apabila tunduk 21-12, 21-23, 14-21 kepada pemain China, Wang Yihan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain