suria

Harimau Malaya Tewaskan Taiwan 2-1

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya berjaya menewaskan pasukan Taiwan 2-1 pada saingan pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Asia di Stadium National Bukit Jalil, Rabu.

Kapten pasukan negara, Shafiq Rahim berjaya memecah ke buntuan pada minit ke-28 permainan apabila melakukan sepakan lencong merobek gol pihak lawan sekali gus membangkitkan kembali semangat pasukan untuk beraksi lebih baik pada babak pertama.

Sementara itu, permainan semakin rancak dan skuad negara mula mendapat rentak dengan melakukan banyak serangan.

Jaringan 1-0 kekal hingga separuh masa pertama tamat.

Aksi babak kedua menyaksikan stadium sekali lagi bergegar dengan kehadiran lebih kurang 30,000 penyokong apabila pemain pertahanan negara, Aidil Zafuan Abdul Razak menambah satu lagi gol dengan tandukan menarik, hasil daripada hantaran sudut oleh kapten pasukan pada minit ke-55.

Namun keadaan selesa ini tercalar selepas pemain lawan, Chan Po Liang merapatkan kedudukan pada minit ke-77 gara-gara kealpaan benteng pertahanan negara.

Keputusan kekal 2-1 sehingga tamat permainan dan ini menyaksikan situasi tidak selamat apabila hanya kelebihan satu gol untuk dibawa ke Taiwan pada saingan kedua Ahad ini.

Artikel Lain