suria

Villas-Boas Disebut-sebut Bakal Umum Di Matteo Sebagai Penolong Pengurus Chelsea

LONDON: Bekas pemain Chelsea, Roberto Di Matteo disebut-sebut bakal diumumkan sebagai penolong pengurus dan orang nombor dua kepada André Villas-Boas.

Pengumuman tersebut dijangka akan dibuat oleh pengurus berbangsa Portugis itu dalam tempoh 24 jam bersama pasukan pengurusannya yang baru.

Di Matteo, 41, bermain bersama pasukan Chelsea selama enam tahun dan pemilihannya sebagai penolong kepada Villas-Boas sebenarnya agak mengejutkan termasuklah para peminat setia kelab itu sendiri.

Ini kerana Di Matteo telah pun mencipta nama sebagai seorang pengurus kelab bolasepak liga perdana.

Bekas pemain tengah berbakat itu kali terakhir terlibat dalam bolasepak adalah sebagai pengurus West Bromwich Albion sebelum dipecat pada pertengahan musim, Februari lalu.

Dia dipecat oleh pengurusan WBA walaupun berjaya memimpin kelab berkenaan ke Liga Perdana dari Bahagian Satu pada musim sebelumnya.

Selain Di Matteo, Villas-Boas juga dijangka mengumumkan pelantikan José Mario Rocha dan Daniel Sousa - dua orang kanannya di Porto sebagai jurulatih kecergasan fizikal serta ketua peninjau pasukan lawan.

Di Matteo dikenang di kalangan peminat Chelsea sebagai pemain yang menjaringkan gol pembukaan hanya selepas 42 saat permainan bermula pada perlawanan akhir Piala FA 1997 melawan Middlesbrough.

Dia turut menjaringkan gol pada perlawanan akhir Piala Liga 1998 juga menentang Middlesbrough dan pada tahun 2000, sekali lagi menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Aston Villa pada perlawanan akhir Piala FA Cup.

Di samping itu, pemain dari Itali itu juga pernah memenangi Piala Juara Antara Juara Eropah (Cup Winners' Cup) dan Piala Super Uefa ketika bersama Chelsea.

Kariernya berakhir pada tahun 2000 apabila mengalami kecederaan yang teruk ketika menentang kelab Swiss, St Gallen dalam perlawanan Piala Uefa yang memaksanya bersara pada usia 30 tahun.

Artikel Lain