suria

Jaringan Aruna ditagih pada Kejohanan Bola Jaring Dunia

Kapten pasukan bola jaring negara, S. Aruna. - Foto THE STAR Oleh SHAHRUL FAZRY ISMAIL
Kapten pasukan bola jaring negara, S. Aruna. - Foto THE STAR Oleh SHAHRUL FAZRY ISMAIL
Kapten pasukan bola jaring negara, S. Aruna. - Foto THE STAR Oleh SHAHRUL FAZRY ISMAIL

GADIS tinggi lampai yang memikul tugas sebagai kapten pasukan bola jaring kebangsaan, Aruna Santhappan menganggap tahun ini merupakan masa terbaik buat dirinya untuk menaikkan nama negara di mata dunia, lebih-lebih lagi pasukannya bakal beraksi pada Kejohanan Bola Jaring Dunia di Singapura bermula Ahad.

Aruna yang memegang posisi sebagai penjaring (GS) yakin pasukannya berada di landasan terbaik selepas beberapa bulan menjalani latihan intensif yang disediakan oleh Persatuan Bola Jaring Malaysian (PBJM). Dengan semangat berkobar-kobar, anak kelahiran Johor Bahru ini berjanji untuk memberi fokus sepenuhnya pada kejohanan dunia ini.

“Bukan saya sahaja yang teruja untuk beraksi pada kejohanan dunia ini, tetapi rakan sepasukannya turut merasai kehangatan perlawanan ini memandangkan banyak pasukan terbaik dunia akan beraksi di sini. Biarpun sedar laluan bukan mudah, ia tidak akan mengganggu sasaran kami untuk melakukan yang terbaik untuk negara,” katanya kepada Mingguan mStar.

Menurut Aruna, pasukannya telah menjalani latihan selama tujuh bulan di dalam dan luar negara termasuk di New Zealand serta di Melbourne dan ini turut memberi impak positif kepada pasukannya.

“Saya rasakan kami sudah berada dalam keadaan sedia dan apa yang penting adalah kami tidak takut kepada pihak lawan dan memberi sokongan antara satu sama lain. Sebagai pemain senior dan kapten pasukan, saya sentiasa membantu dan memberi panduan kepada pemain-pemain baru dan saya gembira kerana kami sentiasa bersatu hati,” katanya yang turut beraksi pada kejohanan dunia 2007.

Dengan 20 kaps antarabangsa, Aruna juga berjanji akan membantu mencapai sasaran yang diletakan oleh pihak persatuan untuk mengubah kedudukan daripada tempat ke-22 kepada kedudukan ke-12 terbaik dunia.

“Pasukan Malaysia berada dalam Kumpulan D bersama England, Malawi dan Barbados dan sudah pasti saya rasa England merupakan cabaran utama bagi kami. Namun itu bukanlah halangan untuk kami berentap dengan baik dan akan cuba membuat kejutan,” katanya.

Sementara itu, Aruna yang telah mula serius dalam sukan ini sejak umur 14 tahun berkata, sukan ini telah banyak memberi kenangan pahit manis kepadanya dan ini menjadikan dia seorang yang lebih matang dalam menghadapi sebarang situasi.

“Sudah menjadi asam garam seorang atlet kerana tidak selalu kita akan menang dalam perlawanan. Saya seorang yang optimistik dan akan terus berusaha selagi mampu. Dalam masa yang sama juga pelbagai kenangan manis yang telah saya capai antaranya yang tidak boleh saya lupakan ialah berada dalam kelompok enam penjaring terbaik dunia pada Kejohanan Remaja Dunia di Amerika Syarikat, 2007.

“Saya juga turut terpilih sebagai penjaring terbanyak di peringkat Asia. Saya sedar kejayaan ini tidak akan dicapai tanpa kerjasama rakan sepasukannya,” katanya yang gemar melakukan sukan luar pada masa lapangnya. Selain sibuk dengan latihan serta kejohanan sepanjang tahun, Aruna tidak pernah mengetepikan kehidupan peribadinya, lebih-lebih dia merupakan pelajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Saya gembira kerana diberi kekuatan untuk memikul tugas sebagai atlet dan pelajar dengan baik. Walaupun sibuk dengan latihan dan program yang diaturkan, saya tetap mengutamakan pelajaran kerana ia adalah bekalan pada masa depan,” jelas pelajar tahun akhir jurusan Sains Sukan ini.

Menurut Aruna, 24, selepas tamat pengajiannya nanti, dia merancang untuk menyambung pengajiannya ke peringkat sarjana di luar negara yang mempunyai pencapaian baik dalam sukan bola jaring.

“Memang saya ada merancang untuk menyambung pelajaran dalam jurusan Sains Sukan di negara-negara yang aktif dalam sukan bola jaring seperti New Zealand atau Australia kerana inilah peluang saya untuk meningkatkan lagi pengetahuan saya dalam sukan ini sekali gus boleh berkongsi dengan pasukan negara pada masa akan datang,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain