KUALA LUMPUR: Lebih 30,000 peminat tempatan dan luar pasukan Liga Perdana Inggeris, Liverpool FC, membanjiri Stadium Nasional di Bukit Jalil pada Khamis bagi menyaksikan sesi latihan pasukan kegemaran mereka itu.Mereka termasuk wakil Kelab Peminat Liverpool FC Indonesia, Singapura, Thailand dan juga Malaysia. Peminat tiba seawal 4 petang meskipun sesi menghangatkan badan hanya bermula pada 7 petang.Kebanyakan peminat memakai jersi pasukan Liverpool dan mereka kelihatan gembira kerana dapat melihat pemain kegemaran beraksi di depan mata.Mereka turut menyanyikan lagu tema Liverpool FC iaitu "You'll Never Walk Alone".Sesi latihan itu berlangsung kira-kira sejam.Selepas itu, 'The Reds' mengelilingi stadium bagi mempamerkan penghargaan terhadap sokongan kuat peminatnya.Skuad berkenaan, di bawah bimbingan bekas pemain Liverpool Kenny Dalglish, tiba di Kuala Lumpur pagi tadi untuk menentang pasukan Harimau Malaya Sabtu ini pada jam 5.45 petang, di Stadium Nasional.Mereka datang ke Malaysia selepas memenangi perlawanan pra-musim yang pertama dengan Guangdong Sunray Cave di Guangzhou, China, 4-3 semalam.Malaysia akan menjadi perhentian terakhir dalam siri lawatan pasukan itu ke Asia bagi 2011, sebelum pulang ke England untuk perlawanan persahabatan dengan Hull City (23 Julai), Galatasaray (28 Julai), Valerenga (1 Ogos) dan Valencia (6 Ogos).