suria

Fujiwara Juara Supersports 600c

Zamri (kanan) mengucapkan tahniah kepada pelumba Jepun, Fujiwara selepas berjaya mengunggguli Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS 2011 Litar Antarabangsa Zhuhai, China, Ahad.
Zamri (kanan) mengucapkan tahniah kepada pelumba Jepun, Fujiwara selepas berjaya mengunggguli Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS 2011 Litar Antarabangsa Zhuhai, China, Ahad.
Zamri (kanan) mengucapkan tahniah kepada pelumba Jepun, Fujiwara selepas berjaya mengunggguli Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS 2011 Litar Antarabangsa Zhuhai, China, Ahad.

KATSUAKI Fujiwara mengesahkan gelaran juara keseluruhan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS 2011 selepas meraih kemenangan berganda pada pusingan kedua terakhir yang berlangsung di Litar Antarabangsa Zhuhai, China, Ahad.

Pada Perlumbaan 1, pelumba Manual-Tech BEET Kawasaki Racing itu mencatat kemenangan sempurna apabila mendahulu perlumbaan dari awal sehingga ke garisan penamat dengan masa keseluruhan 29 minit 31.502 saat.

Pesaing terdekat, Hafizh Syahrin Abdullah dari PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline di kedudukan kedua dengan masa 29:35.649s diikuti Mohd Zamri Baba (PETRONAS Yamaha Malaysia) ketiga, 29:41.947s.

Pada Perlumbaan 2, Fujiwara melintasi garisan penamat dengan masa keseluruhan 29:38.042s, hanya 0.065s di hadapan Chalermpol Polamai dari Yamaha Thailand Racing (29:38.107s). Sementara itu Zamri di tangga ketiga dengan masa keseluruhan 29:38.195s.

Fujiwara jelas gembira dengan kejayaannya apatah lagi beraksi di litar yang asing baginya.

"Ini merupakan kali pertama saya beraksi di sini dan sungguh saya tidak menyangka dapat memenangi kedua-dua perlumbaan di sini.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada penaja-penaja dan semua yang ada di dalam pasukan atas usaha dan pengorbanan mereka yang telah membantu saya meraih kejayaan ini walaupun masih berbaki satu pusingan perlumbaan lagi,” kata pelumba 38 tahun itu.

Diminta mengulas mengenai perlumbaan, dia berkata Perlumbaan 2 lebih mencabar berbanding dengan Perlumbaan 1.

"Pada Perlumbaan 2, Chalermpol, Zamri dan Azlan memberikan saingan kepada saya sepanjang masa. Pelumba berbeza mendahului kedudukan di selekoh-selekoh berbeza tetapi saya gembira kerana menjadi pelumba pertama yang melintasi garisan penamat.

Sementara itu, Zamri yang berjaya meraih kedudukan podium pada kedua-dua perlumbaan turut berpuas hati dengan kejayaannya kali ini.

"Saya melakukan kesilapan pada pusingan pertama Perlumbaan 1 dan terpaksa bekerja keras untuk mengejar kumpulan di hadapan dari kedudukan ke-17 untuk menduduki tempat ketiga.

"Pada Perlumbaan 2, saya bermula dengan baik dan bersaing sengit dengan Fujiwara serta menunggu ke saat akhir untuk bertindak. Namun begitu, Chalermpol turut melakukan tindakan serupa dan akhirnya saya terpaksa berpuas hati di tempat ketiga,” kata pelumba 28 tahun itu.

“Walau bagaimanapun, dapat menamatkan kedua-dua perlumbaan di atas podium kali ini turut menaikkan semangat dan keyakinan saya dan berharap dapat mengekalkan momentum kali ini bagi menghadapi perlumbaan Moto2 di Sepang, minggu hadapan,” tambah Zamri.

Berbaki dua perlumbaan, Fujiwara mengesahkan gelaran juara setelah mengutip 196.5 mata, 56.5 mata mengatasi Azlan di kedudukan kedua dengan 140 mata.

Azlan menamatkan kedua-dua perlumbaan di tempat keempat. Sementara itu Zamri dan Hafizh di kedudukan ketiga dan keempat keseluruhan dengan 107 dan 94 mata.

Pasukan Manual-Tech BEET Kawasaki Racing mendahului Anugerah Berpasukan Keseluruhan dengan 196.6 mata diikuti Boon Siew Honda Racing Malaysia kedua, 147 mata dan Yamaha Thailand Racing, 143.5 mata.

Dalam kategori Underbone 115cc, pelumba handalan Indonesia, Rafid Topan Sucipto dari Yamaha CKJ TJM Racing turut meraih kemenangan berganda dengan kejayaan memenangi Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2.

Namun, ia bukan kemenangan mudah apabila pada Perlumbaan 1, Rafid mengetepikan Mohd Affendi Rosli (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) hanya dengan perbezaan 0.011s.

Rafid menamatkan perlumbaan 10 pusingan dengan masa keseluruhan 21:57.692s, diikuti Affendi dengan 21:57.703s. Sementara itu, Gupita Kresna dari Kawasaki NHK Rextor Manual Tech meraih kejayaan podium pertamanya musim ini apabila meraih tempat ketiga dengan masa 21:58.069s.

Pada Perlumbaan 2, Rafid sekali lagi tidak memperoleh kemenangan dengan mudah. Kali ini, dia berada di hadapan rakan sepasukan Gupita, Hadi Wijaya dengan hanya 0.114s.

Rafid melintasi garisan penamat dengan masa keseluruhan 22:03.998s manakala Hadi di tangga kedua dengan masa keseluruhan 22:04.112s. Pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM, Mohd Ramdan Mohd Rosli ketiga dengan masa 22:04.331s.

Dengan kemenangan ini, Rafid terus mendahului senarai keseluruhan dengan 211 mata, 49 mata mengatasi Hadi yang berada di tangga kedua dengan 162 mata. Sementara itu, Mohd Rozaiman Mohd Said yang menamatkan Perlumbaan 1 di tangga ketujuh dan gagal menamatkan perlumbaan pada Perlumbaan 2 naik ke tangga ketiga dengan 79 mata.

Dalam senarai Anugerah Berpasukan Keseluruhan, pasukan Yamaha CKJ TJM Racing terus mendahului kedudukan dengan memungut 218 mata diikuti pasukan Kawasaki NHK Rextor Manual Tech, 172 mata dan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM ketiga dengan 147 mata.

Artikel Sebelum

Artikel Lain