suria

Karathu Tidak Lagi Kemudi Kelantan Musim Depan

KOTA BAHARU: Ketua Jurulatih Kelantan Datuk M.Karathu mengesahkan beliau tidak akan membimbing pasukan The Red Warriors pada musim depan untuk memberi peluang kepada jurulatih lain mengemudi juara Piala Malaysia musim lalu itu.

Karathu berkata sudah tiba masanya beliau bersama keluarga setelah banyak meluangkan masa kepada kerjayanya.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan Tan Sri Annuar Musa, pemain, penyokong dan semua yang lain ketika saya melatih Kelantan selama semusim.

"Sudah sampai masanya bagi saya memikirkan untuk berehat bersama keluarga yang saya tinggalkan demi karier bola sepak selama ini. Kelantan sangat dekat di hati saya. Terima kasih semua," katanya mengulas haluan baru selepas Kelantan gagal beraksi di peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Pada saingan suku akhir Jumaat lepas, Kelantan tewas kepada musuh tradisi iaitu Terengganu, yang juga juara Piala FA, dengan agregat 5-3, sekaligus meranapkan impian mempertahankan kejuaraannya. Ketika Karathu bersama Kelantan bagi meneruskan legasi B.Sathianathan, yang juga bekas jurulatih kebangsaan, beliau berjaya membawa The Red Warriors menjuarai Piala Sumbangsih dan Liga Super serta naib johan Piala FA.

Beliau juga pernah membimbing Kelantan pada 1993 hingga membawa pasukan itu ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia dan Piala FA.

"Saya berpuas hati dengan dua kemenangan selama semusim ini, walaupun gagal membawa Kelantan ke final Piala Malaysia sekali lagi," katanya yang menafikan menerima tawaran pasukan lain, sebaliknya memberi alasan mahu berehat bersama keluarga.

Bagaimanapun, Karathu sedia memberikan sumbangan dalam bentuk lain kepada Kelantan, jika diminta berbuat demikian oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

"Saya dengan Kelantan sudah sebati, dan bersedia pada bila-bila masa untuk membantu Kelantan dalam soal yang lain dan akan datang untuk membantu jika perlu," katanya yang turut meminta KAFA mendapatkan khidmat seorang jurulatih taktikal bagi memantapkan persembahan pemain pasukan itu pada masa depan.

Mengulas pasukan yang bakal berentap pada perlawanan akhir Piala Malaysia, Karathu berkata mereka yang mara ke separuh akhir mempunyai kelebihan masing-masing.

"Mungkin Terengganu dengan Selangor, mungkin juga Negeri Sembilan dan T.Team, dan mungkin juga Terengganu dan T.Team. Semua ada kekuatan tersendiri," katanya.

Dalam beberapa blog ketika ini, nama bekas jurulatih Kelantan Peter James Butler, antara yang disebut-sebut bakal menggantikan Karathu, namun KAFA dijangka mengumumkan perkara itu tidak lama lagi.

Sementara itu, Naib Presiden KAFA Rosmadi Ismail yang terkejut apabila dimaklumkan berita tersebut, berkata beliau akur jika benar Karathu berhasrat melepaskan jawatannya.

"KAFA akan membincangkan peletakan jawatan Karathu, jika benar jurulatih itu mahu melepaskan jawatan dan menghantar surat.

"Datuk Karathu telah banyak berjasa kepada Kelantan dan kita sangat berpuas hati dengan komitmen beliau," katanya.

Mengenai Butler, Rosmadi berkata setakat ini, KAFA masih meneliti nama yang bakal disenarai sebagai jurulatih baru.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain