KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei akan berdepan dengan bintang muda China, Chen Long, pada perlawanan akhir Kejohanan Terbuka Denmark di Odense, Ahad.Chong Wei, yang mencari kejuaraan keenam musim ini, melangkah ke final selepas mengalahkan pemain tuan rumah yang berpengalaman, Peter Hoeg Gade, 21-19, 23-21 pada saingan separuh akhir. Pertarungan sengit memakan masa 40 minit itu membolehkan Chong Wei menjadi pemain tunggal negara ke perlawanan akhir selepas beregu lelaki negara Hoon Thien How/Tan Wee Kiong terkandas pada separuh akhir.Chen Long pula mara ke final apabila menumpaskan pemain Jepun, Sho Sasaki 21-16, 21-7 pada satu lagi perlawanan separuh akhir.Beregu negara THien How/Wee Kiong tidak dapat menyaingi kehebatan beregu pilihan utama China, Cai Yun dan Fu Haifeng apabila tunduk 11-21, 11-21.Sebelum ini, beregu utama negara Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong menerima nasib malang apabila terkeluar lebih awal pada pusingan pertama selepas dikecewakan oleh pasangan Korea Selatan, Cho Gun Woo/Kwon Yi Goo 21-15, 15-21, 12-21. BERNAMA