KUALA LUMPUR: Terengganu akan menentang Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu depan setelah mengatasi lawan masing-masing pada perlawanan separuh akhir kedua malam Sabtu.Terengganu menundukkan Selangor 2-1 dengan kelebihan agregat 4-1 sementara Negeri Sembilan mengalahkan T-Team 2-1 dengan kelebihan agregat 6-3. Pada perlawanan separuh akhir pertama Selasa lepas, Selangor tumpas 0-2 kepada Terengganu manakala Negeri Sembilan mengalahkan T-Team 4-2.Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, skuad Penyu yang kali terakhir merangkul Piala Malaysia pada tahun 2001, menghancurkan pemburuan misi ke-33 Selangor untuk menjulang piala berprestij yang mula diperkenalkan pada tahun 1921 itu.Terengganu ternyata memanfaatkan sepenuh peluang bermain di laman sendiri dan beberapa kali melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan seawal minit pertama perlawanan namun diselamatkan penjaga gol G.Jeevanathan.Selangor sebelum itu berjaya menembusi gawang Terengganu yang dikawal oleh Mohd Sharbinee Allawee Ramli namun rembatan Rudie Ramli pada minit ke-11 tidak dikira kerana pemain Selangor itu berada di posisi 'off-side.'Terengganu membuka tirai jaringan menerusi Abdul Manaf Mamat pada minit ke-19, yang bijak menyudahkan bola hantaran Mohd Ashaari Samsudin.Gol kedua Terengganu hadir pada minit ke-72 yang dijaringkan Mohd Asha'ari Shamsuddin yang merembat kencang bola dari luar petak penalti.Babak kedua permainan menyaksikan gergasi Merah Kuning ghairah untuk memburu gol semangat namun setiap percubaan yang dilakukan menemui jalan buntu.Selangor semakin tertekan selepas pemainnya, Mohd Asraruddin Putra Omar dilayangkan kad merah pada minit ke-75 setelah mengasari Mohd Ashaari Samsudin.Gol saguhati Selangor hadir pada minit ke-87 hasil tandukan Safiq Rahim hasil kekeliruan pertahanan Terengganu dalam petak penalti.Sementara itu, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, ternyata pengalaman naib juara musim lepas itu sukar digugat oleh sebuah pasukan kelab, T-Team.Babak pertama menyaksikan serangan bertali arus menerusi Hairuddin Omar, Mohd Firdaus Azizul dan Shahurain Abu Samah, namun berjaya dipatahkan benteng T-Team.Pada minit ke-32, S. Kunalan hampir meletakkan Negeri Sembilan di depan namun sepakan silangnya dari luar kotak penalti ditepis Mohd Jibrail Kamaron Baharin manakala tidak kurang tiga peluang yang diperoleh berikutnya juga gagal dimanfaatkan barisan depan tuan rumah.Babak kedua menyaksikan T-Team menerima tamparan hebat apabila Nor Fadly Alias diperintah keluar padang selepas dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil Nagor Amir Nor Mohamad pada minit ke-58, sekaligus menyaksikan pelawat bermain 10 pemain.Begitu pun, ini tidak mematahkan semangat pelawat apabila Mohd Fitri Omar berjaya menjaringkan gol T-Team pada minit ke-72.Kegembiraan pelawat tidak lama apabila Shahurain menyamakan kedudukan seminit kemudian dengan diiringi gema sorakan lebih 40,000 penyokong tuan rumah yang membanjiri stadium.Kapten Negeri Sembilan Shukor Adan menambah derita T-Team menerusi jaringan pada minit ke-84. BERNAMA