suria

Kelab Ultras Malaya Negeri Sembilan Desak Pimpinan FAM Letak Jawatan

SHAH ALAM: Penyokong Kelab Ultras Malaya Negeri Sembilan pada Sabtu mendesak pucuk pimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) segera meletak jawatan kerana tidak peka dengan hak peminat sukan itu di negara ini.

Anggota-anggota Kelab Ultras Malaya Negeri Sembilan dan Kelab Ultras negeri lain menyatakan tuntutan mereka itu pada demonstrasi aman di luar perkarangan Stadium Shah Alam di sini, petang ini.

Mereka antara lain membantah kenaikan 70 peratus harga tiket kepada RM50 untuk semua tempat duduk perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Terengganu dan Negeri Sembilan malam tadi.

Jurucakap Kelab Ultras Malaya Negeri Sembilan Borhan Nudein berkata beliau dan penyokong lain tidak bermaksud untuk menentang Presiden FAM Sultan Ahmad Shah sebaliknya hanya meluahkan rasa tidak puas hati dengan harga tiket yang mahal.

"Walaupun tidak sampai 1,000 anggota yang berkumpul di luar stadium bagi menyatakan bantahan, kami harap mesej bantahan tersebut sampai kepada FAM," katanya kepada Bernama.

Borhan juga berkata bantahan itu bukan bermaksud tidak menyokong pasukan masing-masing.

Katanya FAM tidak sepatutnya mementingkan soal keuntungan semata-mata sehingga lupa akan peranan dan sumbangan penyokong dalam usaha membangunkan bola sepak di negara ini.

Pada musim lepas, harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia dijual dengan harga RM30 untuk tempat duduk biasa dan RM50 bagi grandstand.

Sementara itu, kira-kira 30 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ditugaskan semasa demonstrasi itu.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa juga bertemu mereka yang menyertai demonstrasi itu kira-kira 10 minit sebelum perlawanan bermula. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Steven Gerrard Cedera Lagi

Artikel Berikut

Artikel Lain