SEREMBAN: Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hasan pada Isnin mengingatkan pemain skuad Rusa supaya berhati-hati dan jangan terpikat dengan pasukan lain yang menawarkan gaji lumayan.Beliau memberi ingatan itu berikutan ada mendengar khabar bahawa beberapa pemain Negeri Sembilan yang akan tamat kontraknya November ini sedang dipikat oleh pasukan lain. "Saya harap pemain ini fikir banyak kali kerana ada pasukan yang menawarkan gaji yang bukan-bukan (tinggi). Saya bukan mahu menghalang pemergian mereka tetapi kita tidak mahu mereka terperangkap dalam situasi pada awal tahun 90-an dulu di mana ada pasukan yang 'kaya' memberikan ganjaran lumayan tetapi selepas itu 'bungkus'....ada pula yang tidak bayar gaji sehingga tiga empat bulan," katanya di sini, pada Isnin. Mohamad yang juga Menteri Besar berkata dalam hubungan ini, di Negeri Sembilan, PBNS tidak pernah lewat membayar gaji dan imbuhan kepada pemain."Oleh itu saya hendak pemain ini memikirkan semasak-masaknya kerana mereka juga mesti memikirkan tentang kerjaya dan masa depan."Kadang-kadang mereka dipikat dengan gaji yang lumayan tapi tak dibayar gaji pun. Ini jelas dan banyak kita dengar dalam liga bola sepak di negara ini," katanya. Ditanya sama ada PBNS akan menaikkan gaji pemainnya ekoran kejayaan merangkul Piala Malaysia musim ini, beliau berkata PBNS belum membuat apa-apa keputusan lagi."Kita tidak begitu ghairah menaikkan gaji kerana kita mahu supaya pemain ini bermain bukan kerana gaji, tapi mereka bermain kerana mereka mempunyai kualiti dan juga kebolehan. Kalau kita asyik 'berlawan-lawan' tentang gaji, ia tiada kesudahannya dan akhirnya mutu dan industri bola sepak negara yang akan hancur," katanya.Mengenai jurulatih Azraai Khor Abdullah, beliau berkata jurulatih yang berasal dari Kedah itu yang masih mempunyai kontrak dengan PBNS akan diberi mandat untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap.Azraai Khor yang mengambil alih dari Wan Jamak Wan Hasan Mac lepas, mempunyai kontrak dua tahun dengan PBNS.Ditanya perancangan musim depan, Mohamad berkat Azraai Khor diberi mandat untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap. "Memandangkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan pengambilan pemain import musim depan, kita akan lebih berhati-hati memilih pemain import ini kerana kita tidak mahu tersalah langkah."Kita hendak pemain yang betul-betul berkualiti dan lebih baik daripada pemain yang ada di dalam negara," katanya.Sementara itu, Azraai Khor berkata para pemainnya akan mula berlatih Rabu ini setelah diberi rehat tiga hari ekoran kejayaan merangkul Piala Malaysia edisi ke-85 setelah menewaskan Terengganu 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, Selangor Sabtu lepas.Katanya beliau akan mengatur beberapa perlawanan persahabatan untuk menguji pemain termasuk pemain import yang akan diserapkan dalam pasukan."Kita akan mencuba dua pemain import untuk musim depan seperti yang dibenarkan oleh FAM. Kita lebih berminat untuk mendapatkan khidmat pemain import dari Latin Amerika."Insya-Allah, dengan adanya pemain import yang berwibawa, mereka akan bantu pasukan kita menuju kejayaan yang lebih cemerlang lagi."Di samping itu, kita juga akan mempelawa pemain tempatan yang lebih berbakat untuk menyertai pasukan kita pada musim depan," katanya. -BERNAMA