Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 menuju ke penghujung dengan hanya berbaki dua pusingan sahaja lagi dan Litar Antarabangsa Sepang (Litar Selatan) akan menjadi gelanggang pusingan kedua terakhir perlumbaan musim ini pada 12 dan 13 November ini.Tiada sebarang tiket dikenakan pada minggu perlumbaan dan peminat-peminat perlu menggunakan kesempatan ini untuk sama-sama merasai keseronokan dan kemeriahan perlumbaan secara percuma. Tidak cukup dengan itu, pelbagai aktiviti turut disediakan di kawasan promosi di mana pengunjung-pengunjung boleh mencuba pelbagai permainan menarik, kuiz, peluang bergambar kenangan, ujian tunggangan, mendapatkan barangan cenderamata dengan harga menarik di khemah-khemah yang disediakan dan banyak lagi.Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Promoter Kejuaraan Cub Prix, Ron Hogg berkata, peminat-peminat sukan pemotoran boleh mengharapkan sesuatu yang di luar jangkaan mereka memandangkan Pusingan 9 ini bakal menjadi perlumbaan yang mencabar kepada pelumba-pelumba.“Selepas perlumbaan di Melaka, minggu lalu yang berlangsung dalam keadaan basah, pasukan dan pelumba-pelumba hanya mempunyai masa kurang daripada dua minggu untuk mempersiapkan diri menghadapi pusingan yang penting ini," katanya.Menurutnya, apa yang menjadikan ia lebih menarik, buat pertama kali pada musim ini pelumba-pelumba akan beraksi di litar yang panjang dan juga lebar serta mempunyai sudut selekoh berkelajuan tinggi berbanding litar-litar lain yang berada di dalam kalendar perlumbaan musim 2011 ini.“Dari Pusingan 1 hingga 8 kesemua pelumba telah beraksi di litar teknikal dan pendek serta beberapa litar yang tidak begitu teknikal namun kali ini ia berbeza sama sekali," katanya.Litar Sepang Selatan sepanjang 2.609 kilometer ini mempunyai lapan selekoh dengan laluan terpanjang ialah 747 meter. Selain itu, dengan kelebaran litar sehingga 15 meter ini juga bermaksud pelumba-pelumba perlu mencari corak perlumbaan yang paling sesuai dengan gaya tungangan mereka.Dia kemudiannya menambah, “Saya pasti pasukan-pasukan yang sedang mengejar gelaran juara keseluruhan akan menggandakan usaha mereka bagi memastikan Kejuaraan tidak terlepas ke tangan pasukan lain. Pelumba-pelumba seperti Ahmad Fazli Sham, Ahmad Fuad Baharudin, dan Norizman Ismail pernah mencipta kemenangan di sini dalam kategori Expert/CP130. Fazli memenangi perlumbaan di sini sebanyak lima kali, Norizman dua kali dan Fuad sekali.“Sementara itu dalam kategori Novis/CP115, pemenang-pemenang saling bertukar ganti bermula dari Mohd Emir Firdaus Hasan, Mohd Hafieenaz Mohd Ali, Mohd Farid Ahmad dan Moh Rozaiman Mohd Said. Ketika ini, saya percaya perlumbaan pasti berlangsung dengan penuh debaran dan sukar untuk meramalkan siapa mampu memenangi perlumbaan akan datang,” jelas Ron.