suria

Atlet Jalan Kaki Sumbang Emas Ketiga Negara

PALEMBANG: Atlet jalan kaki Malaysia Lo Choon Sieng membuka tirai hari ketiga Sukan Sea ke-26 di sini dengan merangkul emas ketiga buat kontinjen negara dalam acara 20km jalan kaki lelaki awal pagi Ahad.

Kejayaan tersebut menebus kekecewaan beliau pada Sukan Sea di Laos dua tahun lalu apabila beliau terkeluar daripada pertandingan kerana melanggar peraturan acara tersebut.

Anak kelahiran Melaka itu mencatatkan 1 jam 32.34 minit, mengatasi pencabar terdekat iaitu atlet tuan rumah Hendro yang hanya ketinggalan satu minit di belakang beliau.

"Saya sangat gembira. Saya telah kerja kuat untuk Sukan Sea ini sejak dua tahun lepas. Memang ini adalah target (sasaran) saya setelah gagal di Laos," katanya kepada media Malaysia di Stadium Olahraga Kompleks Sukan Jakabaring di sini.

Lo, 26, turut menyifatkan perlumbaan hari ini, yang diadakan seawal pukul 6 pagi waktu tempatan (7 pagi waktu Malaysia), berjalan amat lancar buatnya.

"Saya turun dengan penuh yakin. (Jurulatih) 'Coach' pun bagi kata-kata semangat, banyak bantu saya, ibu bapa saya juga, dan apa yang saya buat dalam latihan selama ini dapat saya praktikkan dalam perlumbaan tadi," kata anak didik V.Subramaniam itu.

Sementara itu, meskipun sekadar meraih pingat perak, atlet lontar peluru negara Adi Alifuddin Hussin berpuas hati dapat mencipta rekod kebangsaan baru 17.53m mengatasi rekod lama miliknya 17.38m.

Adi, 23, berkata beliau tidak meletakkan harapan tinggi untuk emas kerana mengetahui kekuatan peserta Thailand Chatchawal Polyiam yang muncul juara dengan lontaran 17.74m.

"Saya tidak kecewa. Bagi saya dapat memecahkan rekod saya sendiri itu sudah satu kejayaan," katanya yang berlatih dua bulan saja sebelum kejohanan.

Sebelum ini Adi berehat selama enam bulan selepas menjalani pembedahan di bahagian bahu. BERNAMA

Lo Choon Sieng, Sukan SEA, Laos, Hendro

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Atlet Karate Gagal Raih Emas

Artikel Lain