suria

Terengganu Uji Tujuh Pemain Import Rabu Ini

KUALA TERENGGANU: Sekurang-kurangnya tujuh pemain daripada beberapa buah negara akan diuji oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dalam rangka pencarian pemain import bagi menghadapi Liga Malaysia tahun depan.

Penolong pengurus pasukan Terengganu Sheikh Tajudin Sheikh Yusof berkata setakat ini pihaknya akan menguji pemain-pemain dari Ghana, Nigeria dan Brazil mulai minggu depan.

"Langkah pertama, kita akan menguji dua pemain dari Ghana Rabu ini sebelum menguji tiga pemain dari Nigeria dan dua pemain Brazil," katanya.

Selain itu, menurut beliau ramai lagi pemain-pemain import yang sanggup datang dan bermain dengan Terengganu dan pihaknya kini sedang berurusan dengan ejen pemain-pemain berkenaan.

Sheikh Tajudin yang juga Naib Yang Dipertua PBSNT berkata begitupun pihaknya tidak akan tergesa-gesa dalam pengambilan pemain-pemain import kerana pendaftaran pemain masih lagi panjang.

Kerajaan negeri Terengganu semalam telah menyatakan kesanggupannya berbelanja besar asal Terengganu mendapat pemain import yang betul-betul hebat dan berkualiti.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Sheikh Tajudin berkata walaupun Terengganu akan menguji pemain-pemain yang datang, namun mereka tetap akan ke luar negara untuk mencari pemain import yang diperlukan.

"Kita tidak mahu bergantung kepada pemain-pemain yang dibawa oleh ejen sahaja, tetapi dalam masa yang sama kita juga perlu keluar negara untuk memilih pemain," katanya.

Sheikh Tajudin berkata Terengganu antara pasukan ranking terbaik di Malaysia, akan pastikan standardnya kekal berterusan tahun depan.

Katanya pasukan Terengganu yang akan dibimbing oleh jurulatih baru Mohd Zan Mat Aris akan memulakan latihan pada Selasa di padang Sekolah Menengah Sultan Sulaiman Batu Buruk.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain