suria

Angkat Berat Sumbang 1 Perak 1 Gangsa

PALEMBANG: Skuad angkat berat negara hari ini menyumbang satu perak dan satu gangsa menerusi acara yang diadakan di Stadium Badminton Jakabaring di sini.

Abdul Azim Najimi, 25, meraih perak kategori 105kg ke atas lelaki menerusi gabungan acara 'snatch' dan 'clean&jerk' manakala Firdaus Abdul Razak memperoleh gangsa daripada acara 94-105kg lelaki clean&jerk.

Beliau yang pertama kali beraksi dalam Sukan SEA kecewa gagal meraih emas pertama buat dirinya.

"Saya memang sasarkan emas tapi apakan daya peserta Thailand lebih hebat. Tiada rezeki saya nampaknya," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kekurangan pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa mungkin menjadi salah satu faktor kekalahannya.

"Kejohanan besar terakhir yang saya sertai adalah Sukan Malaysia di Melaka tahun lepas, jadi saya harap akan ada lebih banyak peluang untuk saya ke kejohanan antarabangsa bagi menimba pengalaman," kata anak kelahiran Pahang ini.

Abdul Azim yang membuat angkatan keseluruhan 345 kg ketinggalan di belakang atlet Thailand Surapong Watthanakasikam yang merangkul emas dengan 361 kg manakala Richard Pep Agosto dari Filipina membawa pulang gangsa dengan angkatan 330 kg.

Beliau bagaimanapun tidak berputus asa dan berazam untuk melakukan lebih baik iaitu merangkul emas pada Sukan Sea di Myanmar dua tahun lagi.

Sementara itu, seorang lagi atlet negara Firdaus, 24, berpuas hati dengan pencapaiannya kali ini meskipun hanya membawa pulang gangsa menerusi clean&jerk dengan angkatan 328 kg.

Katanya catatan beliau kali ini iaitu 151 kg dalam acara snatch mengatasi rekod kebangsaan yang juga rekod terbaiknya 150 kg.

"Saya perlu fokus lagi dalam latihan. Saya pun sebenarnya hanya berlatih bersama skuad negara di MSN (Majlis Sukan Negara) sebulan sebelum kejohanan," katanya yang berasal dari Kedah.

Emas clean&jerk dimenangi atlet Thailand dengan angkatan 353 kg manakala perak diraih atlet tuan rumah Bayu Saputra (338 kg). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain