suria

Dunia Bolasepak Masih Tidak Percaya Dengan Kematian Tragik Gary Speed

LONDON: Dunia bolasepak khususnya bolasepak Inggeris bukan sahaja sedang meratapi pemergian pengurus pasukan kebangsaan Wales, Gary Speed malah sehingga kini sukar menerima hakikat bahawa beliau mati kerana membunuh diri sendiri.

Ini kerana tidak ada siapa pun termasuklah rakan-rakan rapatnya menyedari sebarang perubahan sikap atau masalah yang sedang dihadapinya sehingga membawa kepada tindakan membunuh diri.

Media massa Britain yang sebelum ini begitu pantas menghidu berita sensasi pun masih kaku dan tidak tahu punca yang membawa kepada tindakan tragis itu.

Gary Speed, yang kali terakhir bermain secara kompetatif bersama pasukan Bolton telah ditemui mati tergantung di kediamannya sendiri pada Ahad.

Setakat ini polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat atau jenayah.

Belum ada satu akhbar pun di Britain setakat ini yang melaporkan apakah yang membuatkan Speed tergamak mengambil nyawanya sendiri.

Malah sehari sebelum kejadian menyayat hati itu berlaku, Speed muncul di kaca televisyen untuk membicarakan tentang bolasepak.

Beliau muncul bersama bekas rakan sepasukannya dalam Leeds United, Gary McAllister pada tengah hari Sabtu dalam satu program TV bernama Football Focus dan kelihatan sangat ceria membicarakan tentang kehidupan, kerjayanya kini sebagai pengurus pasukan kebangsaan Wales malah tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda depresi.

Bekas pengurusnya di Leeds United, Howard Wilkinson, iaitu orang yang bertanggungjawab mengasah bakatnya dan meletakkannya dalam senarai skuad utama pada usia 19 tahun masih binggung dengan situasi tragik tersebut.

"Dia memiliki kehidupan yang berjaya sebagai seorang pemain bolasepak dan juga sebagai seorang pengurus," kata Wilkinson kepada Radio 5 Live.

Tidak ada siapa pun yang dapat menafikan bahawa Gary Speed seorang pemain bolasepak yang cemerlang dengan karier profesional selama 22 tahun merentasi lima kelab utama England.

Beliau bermain hampir 700 perlawanan profesional termasuk 535 perlawanan bersama kelab Leeds United, Everton, Newcastle United, Bolton Wanderers dan kemudian Sheffield United.

Ini belum termasuk 85 perlawanan mewakili negara kelahirannya - Wales di mana beliau berakhir sebagai pengurus mereka.

Sepanjang kariernya itu juga, Speed telah berjaya merangkul juara Liga Perdana Inggeris (bersama Leeds), bermain dalam dua perlawanan akhir Piala FA dan hanya mengambil keputusan untuk bersara dari bermain secara pro tahun lepas pada usia 40 tahun.

Di atas kerjayanya yang cemerlang itu, beliau telah dianugerahkan pingat MBE oleh Prince of Wales, Putera Charles.

Speed memulakan kerjayanya sebagai pengurus bersama kelab terakhirnya iaitu Sheffield United sebelum ditawarkan jawatan sebagai pengurus Wales - sesuatu yang tidak dapat ditolaknya mentah-mentah.

Hanya minggu lalu, Speed bersama-sama rakan sepasukannya yang memenangi kejuaraan liga pada musim 1991‑92 berhimpun untuk meraikan ulang tahun ke-20 kemenangan mereka.

Rakan dan taulan begitu terkejut mengenai cara kematiannya sehinggakan tiada siapapun yang sanggup bertanya atau menganggu ahli keluarganya.

Penyerang Manchester United, Michael Owen iaitu satu-satunya pemain bolasepak yang tinggal paling berdekatan dengan rumahnya berkata; "Saya tidak dapat mempercayainya apabila berita mengenai kematian Gary sampai ke telinga saya. Kami baru sahaja melambai tangan ke arah satu sama lain beberapa hari lalu ketika menghantar anak ke sekolah."

Speed begitu berjaya dalam bolasepak sehinggakan semua orang berpendapat bahawa bola bukanlah penyebab beliau membunuh diri.

Ini terbukti apabila beliau mengambil alih teraju kepimpinan bolasepak Wales 10 bulan yang lalu, ranking pasukan itu berada di tangga ke-117 dunia tetapi kini Wales berada di tangga ke-50 dengan memenangi empat daripada lima perlawanan terakhir mereka.

Dalam perlawanan terakhir di bawah kendaliannya, Wales menumpaskan Norway 4-1 di Cardiff dengan gol dijaringkan oleh Gareth Bale dan Craig Bellamy.

Bellamy telah memohon agar dia tidak diturunkan ketika Liverpool menentang Manchester City malam semalam kerana begitu sedih dengan kematian Speed.

Jadi mesti ada perkara lain yang tidak diketahui dalam dunia bolasepak yang menjejas dan menganggu dirinya dan nampaknya sehingga saat ini masih terus menjadi rahsia dan misteri kepada seluruh dunia bolasepak.

Artikel Sebelum

Vettel Atasi Rekod Mansell

Artikel Lain