Federer mencium trofi kemenangan buat kali keenam selepas tewaskan Tsonga pada aksi akhir Jelajah Dunia ATP, awal pagi Isnin.ROGER Federer muncul pemain pertama merangkul gelaran Jelajah Dunia ATP sebanyak enam kali tetapi terpaksa bekerja keras untuk menewaskan Jo-Wilfried Tsonga 6-3 6-7 6-3 pada aksi akhir Jelajah Dunia ATP, di London awal pagi Isnin.Pemain berusia 30 tahun itu, beraksi dalam final buat kali ketujuh dalam tempoh 10 tahun dan bertanding dalam perlawanan ke-100 final jelajah berkenaan, kecundang dalam set kedua tetapi bangkit untuk menundukkan Tsonga bagi mengesahkan gelaran ke-70 dalam kerjayanya. Pemain itu sudah mencatat rekod cemerlang apabila memiliki 16 gelaran juara grand slam dan malah mengatasi juara lima kali, Ivan Lendl dan Pete Sampras dalam senarai juara tetapi turut mencatat satu lagi rekod apabila muncul pemain tertua memenangi gelaran akhir musim itu sejak kejayaan Ilie Nastase pada 1975.“Saya terlalu penat kerana terpaksa berhempas pulas menewaskan Jo yang dilihat bermain dengan baik. Tidak dinafikan ia merupakan perasaan yang bermakna meraih trofi buat kali keenam ini,” katanya.