suria

Sukan Paralimpik Semakin Popular Di Malaysia, Indonesia

SOLO: Temasya sukan Orang Kelainan Upaya (OKU) kini semakin popular dan mendapat tempat dihati masyarakat Malaysia dan Indonesia, kata presiden Majlis Paralimpik Asia (APC) Datuk Zainal Abu Zarin.

Perkembangan tersebut adalah hasil usaha yang dibangunkan secara bersama antara APC dengan anggota gabungannya yang terdiri daripada badan paralimpik di setiap negara anggota.

"Kita dapat lihat perkembangan jelas berlaku di Malaysia dan di Indonesia apabila kerajaan kedua negara bersungguh-sungguh dalam menyusun program pembangunan atlet paralimpik untuk program pembangunan jangka panjang dan jangka pendek," katanya kepada Bernama di sini, Ahad.

Beliau yang juga merupakan presiden Majlis Paralimpik Malysia (MPM) berkata di Malaysia usaha memperkasakan sukan paralimpik sedang giat dibangunkan secara bersama membabitkan kerajaan, badan sukan, MPM dan masyarakat amnya di bawah satu program yang dibina khusus iaitu Gerakan Paralimpik Negara Sedekad 2020 (GPN 2020).

"Malaysia juga bakal mendahului negara-negara lain di rantau Asean dengan siapnya Pusat Pembangunan Paralimpik Negara di Kampung Pandan, Kuala Lumpur nanti yang bakal membawa perubahan besar kepada pembangunan sukan di negara ini (Malaysia)," katanya.

Beliau berkata pusat tersebut mempunyai peranan besar sebagai kilang untuk melahirkan bakat-bakat baru dalam sukan paralimpik agar negara tidak ketandusan atlet paralimpik.

Zainal berkata perkembangan sukan paralimpik di Indonesia tidak kurang hebatnya walaupun ini adalah kali pertama negara tersebut menganjurkan Sukan Para Asean 2011.

"Saya memuji kesungguhan pihak penganjur menaik taraf kemudahan OKU di stadium yang sedia ada yang dapat memberi keselesaan kepada atlet paralimpik yang bertanding," katanya.

Beliau berkata sambutan masyarakt Solo, Indonesia hadir memenuhi setiap venue bagi melihat atlet paralimpik mereka beraksi membawa petanda bahawa masyarakat kepulauan Jawa Tengah mula menerima sukan OKU. - BERNAMA

Artikel Lain