KUALA LUMPUR: China membuktikan kehebatan mereka dalam acara sukan badminton apabila pemainnya memenangi empat daripada lima kategori Final Siri Super Dunia di Stadium Li Ning, Liuzhou, China yang berakhir, Ahad.Juara dunia Lin Dan menjuarai kategori perseorangan lelaki dengan menewaskan rakan senegara Chen Long 21-12 dan 21-16 dalam masa 45 minit. Acara lain yang dimenangi China ialah menerusi beregu wanitanya Wang Xiaoli dan Yu Yang yang menewaskan pasangan Korea Ha Eun Jung/Kim Min Jung 21-8, 21-12 dalam masa 33 minit.Zhang Nan/Zhao Yunlei pula mengungguli acara beregu campuran dengan menewasakan rakan senegara Xu Chen/Ma Jin 21-13, 21-15 dalam masa 38 minit.China turut membolot acara perseorangan wanita menerusi juara dunia Wang Yihan yang menewaskan pemain India, Saina Nehwal dalam tiga set 18-21, 21-13 dan 21-13 dalam masa 71 minit.Hanya pasangan beregu lelaki Denmark, Mathias Boe/ Carsten Mogensen yang mencalarkan harapan China untuk mengungguli kesemua kategori apabila mudah menewaskan pasangan Chai Biao/Guo Zhendong 23-25, 7-21 dalam masa 37 minit.Juara kategori lelaki dan wanita masing-masing menerima US$40,000 (RM127,080) sementara juara kesemua kategori beregu masing-masing menerima US$ 42,000 (RM133,434).-BERNAMA