KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan menubuhkan badan penyiasat bebas bagi menentukan hukuman yang sesuai dikenakan ke atas salah seorang atletnya yang sebelum ini gagal dalam ujian anti-doping, sekiranya ujian sampel B juga didapati positif.Presiden KOM Datuk Seri Shahidan Kassim berkata badan bebas itu akan dianggotai wakil beberapa pihak berkepentingan seperti Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN), Persekutuan Atlet Amatur Antarabangsa (IAAF) dan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas). "KOM menentang habis-habisan penggunaan dadah, jadi kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak, itu prinsip kita," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas berkaitan isu berkenaan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.Mesyuarat hampir dua jam itu turut dihadiri Timbalan Presiden KOM Karim Ibrahim, Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi serta Datuk M. Magendran yang mewakili Majlis Sukan Negara (MSN).Sebelum ini, media melaporkan dua atlet negara yang meraih pingat pada acara sukan olahraga dan angkat berat didapati positif ujian anti-doping sampel A oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Indonesia (Inasoc) pada 21 Dis tahun lepas akan berdepan hukuman selepas ujian penentuan sampel B.Chef-de-Mission ke Jakarta Datuk Naim Mohamad yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) pada Ahad lepas menghantar surat rasmi berkaitan ujian penentuan dua sampel B itu kepada wakil Inasoc, Indra Kartasasmita.Shahidan berkata beliau hanya akan mengumumkan tindakan yang sesuai seperti yang disyorkan oleh badan penyiasat bebas tersebut setelah mendapat keputusan rasmi daripada Inasoc berkaitan ujian sampel B."Saya perlu mengikut peraturan yang ditetapkan dan tidak boleh umumkan nama atlet terlibat selagi dia didapati tidak bersalah, jadi kena ingat bahawa semua atlet diberi peluang untuk (menjalani) ujian sampel B," katanya.Shahidan juga berkata badan induk olahraga negara itu tidak pernah menghalang atlet naungannya termasuk atlet pecut kebangsaan Siti Fatimah Mohamad daripada menyertai sukan lain."Itu hak masing-masing dan kalau dia (Siti Fatimah) rasa itu yang terbaik untuk mengubah nasibnya di bidang lain, kita akan menyokong, tiada masalah namun yang penting mereka boleh memberi sumbangan kepada negara," katanya ketika diminta mengulas isu Siti Fatimah yang secara rasmi menyertai acara berbasikal setelah bosan dengan kemelut dalaman KOM.Siti Fatimah kini menjalani ujian bagi menentukan kesesuaiannya mengambil bahagian dalam acara berbasikal. - BERNAMA