suria

Beregu Mohd Zakry/Mohd Fairuzizuan Layak Ke Pusingan Utama Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Beregu negara Mohd Zakry Abdul Latif dan Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari memulakan tahun ini dengan langkah kanan apabila berjaya melayakkan diri ke pusingan utama beregu lelaki kejohanan badminton Siri Super Terbuka Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, Selasa.

Beregu yang mewakili Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) itu menewaskan beregu Taiwan Liang Jui Wei/Liao Kuan Hao 21-13, 23-21 dalam masa 26 minit.

"Kombinasi kami semakin selesa. Masing-masing sudah tahu apa yang patut dilakukan, namun kami masih perlu membaiki 'consistency' kami," kata Mohd Zakry kepada media selepas perlawanan.

Gandingan itu yang dibimbing pakar beregu negara Razif Sidek, bakal berhadapan pilihan kelapan kejohanan Markis Kido dan Hendra Setiawan dari Indonesia, Rabu.

Mohd Fairuzizuan berkata pertembungan tersebut dijangka sukar memandangkan mereka tidak pernah mengalahkan beregu utama Indonesia itu.

"Bagaimanapun sedikit sebanyak kami sudah tahu corak permainanan mereka. Jika berjaya esok, barulah kami berani untuk 'target' ke semi final," katanya.

Beregu itu yang menduduki ranking ke-45 Persekutuan Badminton Dunia (BWF) juga berazam untuk meraih sekurang-kurangnya dua gelaran kejohanan tahun ini.

"Meskipun mungkin tidak berpeluang untuk melayakkan diri ke Olimpik (Julai ini), kami masih ingin membaiki ranking dan kami sasarkan dua kejohanan iaitu satu kejohanan GP Gold dan satu kejohanan super series," katanya.

Selain Mohd Zakry dan Mohd Fairuzizuan, dua lagi beregu lelaki negara Mak Hee Chun/Ong Soon Hock dan Ong Jian Guo/Teo Kok Siang turut menempah tempat di pusingan utama.

Mak dan Ong menewaskan Rasmus Bondel/Anders Kristiansen dari England 21-19, 21-14, manakala Ong dan Teo mengenepikan cabaran pasangan Thailand Bodin Issara/Maneepong Jongjit 21-16, 15-21, 22-20. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain