suria

ACC: Tayar Pancit Jejas Peluang Mohd Hariff Raih Pingat Emas

KUALA LUMPUR: Masalah tayar pancit telah menjejaskan peluang pelumba negara, Mohd Harrif Salleh untuk meraih pingat emas acara 10km scratch lelaki elit pada Kejohanan Berbasikal Asia ke-32 dan Kejohanan Berbasikal Remaja Asia ke-19, Sabtu.

Pada acara yang berlangsung di Velodrom Kuala Lumpur, Mohd Harrif terpaksa memberhentikan kayuhannya pada pusingan ketujuh acara scratch yang melibatkan 30 pusingan itu akibat tayar depan basikalnya pancit.

"Bila tayar pancit, saya jadi agak kelam-kabut sama ada saya boleh meneruskan kayuhan. Perkara seperti ini tidak pernah berlaku kepada saya sebelum ini.

"Bila jurulatih beritahu saya boleh meneruskan kayuhan dalam acara itu saya cuba untuk buat yang terbaik. Lepas berhenti sebab tayar pancit itu, fokus saya hilang dan tidak tahu apa hendak buat.

"Perlumbaanpun sudah berpecah kepada dua kumpulan dan saya perlu kejar kumpulan kedua untuk terus bersaing. Saya dapat balik rentak kayuhan masa pusingan ke-10 dan saya cuba rapat kepada dua pelumba pendahulu," katanya ketika ditemui pemberita.

Walaupun Mohd Harrif, 23, tiba dulu di garisan penamat, beliau terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa kerana ketinggalan satu pusingan akibat insiden tayar pancit itu.

"Saya rasa kalau tidak disebabkan tayar pancit itu, saya yakin saya mampu meraih pingat emas untuk acara ini," kata pelumba yang kali terakhir meraih pingat emas acara yang sama pada Kejohanan Berbasikal Asia pada 2007 di Thailand.

Mohd Harrif juga adalah pemenang pingat emas acara yang sama pada temasya Sukan SEA di Jakarta dan Palembang tahun lepas.

Pingat emas acara itu dimenangi pelumba Taiwan Feng Chun Kai dan pingat perak dimenangi Thurakit Boonratanathanakorn dari Thailand.

Sementara dalam kategori wanita elit, pelumba negara Ju Pha Som Net sekadar berada di tempat kelima dan acara itu dimenangi pelumba Hong Kong, Diao Xiaojuan, manakala Panwaraporn Boonsawat (Thailand) dan Maki Tabata (Jepun) masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.

Dalam pusingan pertama acara keirin yang berlangsung hari ini, Azizulhasni Awang dan Josiah Ng terpaksa bersaing dalam pusingan repechages untuk menentukan tempat di peringkat separuh akhir.

Terdahulu, kedudukan Josiah yang meraih tempat kedua dalam saringan ketiga dilucutkan selepas pihak komisar memaklumkan beliau melakukan gerakan yang merbahaya dan akibatnya, Josiah terpaksa bersaing dalam pusingan repechages untuk layak ke peringkat separuh akhir.

"Saya hanya mendapat peluang berlumba di hadapan penonton sendiri sekali setiap 10 tahun dan saya beritahu diri saya untuk menambah (aksi) sikit pada persembahan tetapi ia memberikan saya sedikit masalah. Biasanya (pegawai kejohanan berbasikal) akan memberi amaran jika ia tidak membahayakan pelumba lain.

"Saya rasa sedikit lesu hari ini. Saya hanya ingin layak ke final," kata Josiah.

Pada kejohanan yang sama tahun lepas di Nakhon Ratchasima, Thailand, Josiah meraih pingat perak, manakala Azizulhasni memperoleh gangsa.

Turut layak ke peringkat separuh akhir acara keirin ialah Fatehah Mustapa dalam kategori wanita elit, Ummi Hamimah Mohamad (remaja perempuan) dan Muhammad Fauzan Nor Azman dan Malek Marcus McCrone (remaja lelaki).-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain