suria

71 Gimnas Lelaki Ikuti Kem Pemilihan MSN

KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya, 71 gimnas lelaki sedang mengikuti kem pemilihan dan penilaian sukan gimnastik di gimnasium Majlis Sukan Negara (MSN) di sini.

Pengarah Cawangan Pelapis MSN Jefri Ngadirin berkata ini adalah kali pertama pihaknya menganjurkan program seumpama itu bagi mencungkil bakat-bakat baru gimnas lelaki dari Pusat Pelapis Negeri, Pelapis Serantau dan Pelapis Kebangsaan.

Beliau berkata kem latihan yang akan berakhir Jumaat ini mendapat sambutan amat menggalakkan dan berharap ia dijadikan program tahunan MSN.

"Selain sesi penilaian, atlet juga akan mengikuti beberapa aktiviti lain termasuk program latihan oleh bekas jurulatih kebangsaan China, Gao Jian yang juga panel penilai," katanya ketika dihubungi Bernama, Rabu.

Jefri berkata pihaknya turut mengadakan sesi pemilihan bagi gimnas elit dan pelapis kebangsan.

"Saya harap usaha ini akan dapat mengatasi masalah kekurangan gimnas lelaki berusia antara 10 dan 12 tahun," katanya.

Beliau berkata kem itu adalah antara program persiapan atlet negara bagi menghadapi Sukan SEA Myanmar 2013 dan Sukan SEA Singapura 2015.

Gimnas lelaki negara, Mohd Irwan Miskob pernah merangkul dua pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2001 namun beliau gagal meraih sebarang pingat pada Sukan SEA Indonesia pada November lepas. - BERNAMA

Artikel Lain