IPOH: Tiga pemain dari benua Afrika akan turun berlatih bersama skuad Seladang mulai awal bulan depan bagi mengisi kuota pemain import dalam pendaftaran kedua yang dibenarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)."Kami tidak memberikan sebarang harapan kepada mereka, tetapi tetap menerima mereka untuk menjalani latihan bersama skuad sedia ada," kata Presiden Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) Datuk Zainol Fadzi Paharuddin. Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata keputusan berhubung pemilihan pemain import itu akan dibuat sehingga akhir tempoh latihan.Zainol berkata pada masa ini pengurusan pasukan Liga Super tidak bercadang menggugurkan mana-mana pemain import sedia ada kerana pertandingan masih di peringkat awal.Beliau berkata pasukan Perak hanya tewas dua dari enam perlawanan Liga Super."Bagi saya adalah terlalu awal untuk memberi reaksi kepada prestasi pemain kerana sukatan yang kami kenakan adalah kepada keseluruhan pasukan dan perlawanan."Kumpulan jurulatih yang diketuai Norizan Bakar juga tidak bimbang dengan prestasi Lazar Popovic yang belum menghasilkan sebarang gol, tetapi Popovic banyak membantu pasukan," katanya.FAM membenarkan pendaftaran kedua pemain import dibuat bermula 2 hingga 16 April dan Perak kini mempunyai dua pemain import iaitu pemain dari Serbia, Lazar Popovic dan Michal Kubala.-BERNAMA