suria

Anuar Hampiri Guardini Untuk Jersi Biru

BATU PAHAT: Pelumba berbasikal lebuh raya negara, Anuar Manan kini menghampiri pendahulu kategori pecut (Jersi Biru) perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012, Andrea Guardini daripada pasukan Farnese Vini-Selle Italia.

Selepas menamatkan peringkat ketiga dari Melaka ke Parit Sulong pada Ahad, Anuar, mewakili pasukan Champion System yang berpangkalan di Hong Kong, China, kini berada hanya empat mata di belakang pelumba dari Itali itu.

Pelumba berusia 25 tahun itu setakat ini mengumpul 26 mata, sementara Guardini mendahului dengan 30 mata selepas tiga peringkat perlumbaan.

Pada perlumbaan peringkat ketiga LTdL dari Melaka ke Parit Sulong yang melibatkan jarak perlumbaan sejauh 187.6km, Anuar menjadi pelumba terbaik Malaysia pada perlumbaan itu.

Beliau menamatkan saingan di tempat ketiga dan Guardini sekali lagi meraih kemenangan peringkat untuk kali kedua berturut-turut.

"Hari ini jarak kayuhan agak jauh. Melihat kepada pasukan yang mengawal perlumbaan adalah pasukan Garmin Barracuda. Mereka sememangnya bersedia untuk melakukan pecutan dalam beberapa kilometer untuk pecutan berkelompok.

"Untuk esok, saya kena tengok dulu keadaan macam mana. Kalau ada pecahan lagi, dia (Guardini) mungkin mahu berada di depan saya lagi untuk kumpul lebih mata," katanya ketika ditemui Bernama selepas saingan Ahad.

Sementara itu, dalam pergelutan kelompok pelumba menuju ke garisan penamat, satu kemalangan menimpa lapan pelumba termasuk seorang lagi pakar pecut negara, Mohd Harrif Salleh daripada pasukan Terengganu Cycling Team (TSG).

"Kecederaan ini tidak serius dan saya masih boleh meneruskan kayuhan esok. Saya akan cuba lagi untuk peringkat seterusnya," katanya.

Pelumba berusia 24 tahun itu menamatkan saingan di tempat ke-116 daripada 129 pelumba, bagaimanapun mengikut laporan Komisar perlumbaan, kelapan-lapan pelumba yang terbabit dengan kemalangan itu diberikan catatan masa sama seperti pendahulu peringat ketiga.

TSG menamatkan saingan di kedudukan keenam setakat ini dalam kategori pasukan terbaik Asia, sementara pasukan kebangsaan negara pula berada satu anak tangga di belakang mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain