suria

100 Hari Menjelang Olimpik, Atlet Negara Giat Jalani Latihan

KUALA LUMPUR: Menjelang 100 hari berlangsungnya Sukan Olimpik di London, semangat atlet negara semakin berkobar-kobar untuk melakukan aksi terbaik masing-masing pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Penerjun Bryan Nickson Lomas, yang telah dua kali beraksi di Sukan Olimpik sebelum ini, berkata temasya kali lebih mencabar untuk meraih pingat berbanding sebelum ini. "Sebelum ini, penyertaan di Sukan Olimpik hanyalah untuk pendedahan dan pengalaman, tetapi kali ini lebih mencabar kerana pasukan bersaing untuk mendapatkan pingat," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran 100 Hari ke London di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, Rabu.

Anak kelahiran Sarawak itu akan bertanding dalam acara 3m papan anjal individu, 10m platform individu dan 3m papan anjal seirama bersama Yeoh Ken Nee.

Atlet berbasikal wanita Fatehah Mustapa pula mengaku teruja apabila berjaya melayakkan diri ke Olimpik. "Gembira memang gembira...tetapi tidak boleh gembira sangat kerana banyak lagi perlu diperbaiki. Bagaimanapun, saya akan lakukan yang terbaik untuk layak ke final nanti," katanya yang meletakkan sasaran ke peringkat akhir acara keirin.

Selain Fatehah, atlet berbasikal yang turut menempah tiket ke London ialah 'The Pocket Rocketman' Muhd Azizulhasni Awang.

Dalam pada itu, atlet lawan pedang Yu Peang Kean berkata jadual latihan yang padat membantu beliau untuk fokus dalam menghadapi kejohanan itu.

Yu, yang melayakkan diri dalam acara sabre, akan menjalani latihan di China dan Itali sebelum terbang ke London.

Pemanah Chen Chu Siang, yang mempunyai pengalaman beraksi pada Olimpik 2008, menasihatkan rakan atlet yang akan ke London supaya tidak terlalu dipengaruhi oleh perhatian media dan orang ramai. Atlet senior itu akan berganding bahu dalam acara recurve bersama Haziq Kamaruddin dan Hairul Anuar Mohamad.

Majlis pelancaran itu dihadiri Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Simon Featherstone dan Ketua Kontinjen Malaysia ke London, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Ahmad Shabery turut merasmikan bilik sekretariat 'Road to London' yang berfungsi sebagai pusat maklumat bagi kejohanan itu, bertempat di bangunan Casa 1 MSN di sini.

Sembilan belas atlet negara layak ke Olimpik pada 27 Julai hingga 12 Ogos ini manakala 12 atlet paralimpik akan bertanding di Sukan Paralimpik London dari 29 Ogos hingga 9 Sept). -BERNAMA

Artikel Lain