Rosberg mahu mempamerkan aksi lebih bik di Litar Sakhir pada aksi GP Bahrain Ahad ini. Foto: APJUARA Grand Prix Formula Satu (F1) China, Nico Rosberg yakin jentera Mercedes GP, F1 W03 akan tampil dengan aksi lebih baik pada perlumbaan GP Bahrain, Ahad ini.Pemandu kelahiran Jerman berusia 27 tahun itu menyuarakan keyakinan tersebut selepas dia mencatat kemenangan pada di Litar Antarabangsa Shanghai, Ahad lalu. Rosberg kelihatan tidak sabar untuk meneruskan perlumbaan kerana dia pernah mencatat beberapa kejayaan di Litar Sakhir pada penampilan sebelum ini."Saya masih tidak dapat melupakan kenangan di Litar Sakhir. Saya pernah memenangi perlumbaan Formula 3, Piala Macau-Bahrain dan perlumbaan GP2."Saya juga pernah menduduki tempat ketujuh pada penampilan pertama saya bersama jentera F1 dan mencatat rekod sepusingan yang terpantas,” kata Rosberg.Rosberg mengakui dia menyukai ciri-ciri di litar itu kerana jentera yang digunakan Mercedes amat sesuai dengan keadaan di situ."Kurang tekanan dengan banyak perhentian dan beberapa selekoh pada kelajuan yang tinggi. Susun atur litar sesuai dengan jentera kami tetapi saya juga tidak boleh menafikan yang perlumbaan tersebut akan menjadi cabaran hebat buat kami.“Saya berharap segala-galanya akan berjalan dengan baik seperti kesesuaian tayar yang digunakan kerana suhu di Bahrain lebih tinggi berbanding China,” jelasnya.Sementara itu, rakan sepasukannya, Michael Schumacher turut mengakui keputusan di China telah memberi semangat baru kepada pasukan walaupun dia tersingkir pada perlumbaan tersebut."Pengalaman yang diperoleh ketika beraksi di China telah memberi harapan baharu kepada pasukan dan saya percaya, kami mampu mengulangi kejayaan yang sama pada perlumbaan seterusnya."Bagaimanapun, kita tidak boleh terlalu yakin kerana apa sahaja berlaku pada musim ini. Ada tiga pemenang untuk tiga perlumbaan setakat ini," kata Schumacher.Sebelum ini, pemandu McLaren, Jenson Button mencatat kejuaraan pada perlumbaan pembukaan musim di Australia pada 18 mac lalu dan Fernando Alonso (Ferrari) memenangi GP Malaysia seminggu kemudian.