suria

Tiket Perlawanan United - City Dijual Pada Harga RM6,406.27

TIKET untuk perlawanan penentu juara Liga Perdana Inggeris antara juara bertahan Manchester United menentang pencabar tunggal iaitu jiran mereka Manchester City, Isnin depan kini dijual pada harga £1,300 secara online.

Ini bermakna, nilai tiket itu adalah £14 seminit bagi menyaksikan perlawanan selama 90 minit itu di Stadium Etihad milik City yang dapat memuatkan 48,000 orang penonton.

Jurucakap Manchester City mengingatkan orang ramai agar hanya membuat pembelian dalam talian melalui saluran yang sah sahaja iaitu yang dikendalikan oleh kelab berkenaan. United yang kini hanya berada tiga mata di hadapan City perlu menang untuk membuka jurang enam mata dengan hanya baki dua perlawanan sahaja lagi selepas itu.

Perlawanan tersebut adalah menentang Swansea City di Old Trafford dan kemudian berkunjung ke Sunderland pada minggu berikutnya.

City pada masa yang sama juga perlu menumpaskan United untuk kembali menyamakan kedudukan mata dengan kelab berkenaan. Dan mereka mempunyai kelebihan itu kerana bermain dalam gelanggang sendiri.

Selepas perlawanan menentang United, mereka akan berkunjung ke Newcastle United yang boleh dianggap sebagai satu perlawanan yang sangat sukar memandangkan prestasi Newcastle yang sedang menacak naik sekarang.

Newcastle sudah pastinya akan bermain mati-matian untuk berebut tempat keempat bagi melayakkan mereka beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Beraksi dalam liga tersebut bukan sahaja penting sebagai punca pendapatan tambahan yang sangat lumayan pada kelab (melalui kutipan tiket dan juga hak penyiaran siaran langsung) tetapi yang lebih penting ialah untuk beraksi dalam liga elit yang ditonton di seluruh dunia.

Selepas perlawanan menentang Newcastle, City akan menentang satu lagi pasukan yang akan berjuang untuk terus hidup dalam liga perdana iaitu QPR.

QPR sepertimana Newcastle akan turut bermain mati-matian untuk mencuri tiga mata yang akan menentukan untung nasib mereka dalam liga perdana musim depan.

Kedua-dua perlawanan tersebut sekaligus memberi tekanan kepada City kerana pasukan yang akan menentang mereka tidak akan mengaku kalah atau memberi laluan kepada City kerana perjuangan mereka juga belum selesai.

Dalam pada itu, untuk perlawanan Isnin ini, polis Manchester telah diletakkan dalam keadaan yang lebih berjaga-jaga kerana pihak tuan rumah khuatir, keghairahan untuk mendapatkan tiket akan menyebabkan para penyokong pasukan masing-masing tidak memperdulikan arahan pembahagian kawasan dan dengan itu membeli tiket secara sembarangan - sekaligus menyebabkan mereka saling duduk sebelah menyebelah dan ini mungkin membahayakan keadaan.

Oleh hal yang demikian, pihak marsyal perlawanan dan juga pihak polis telah diberi arahan agar dengan segera mengeluarkan mana-mana penyokong yang didapati memakai jersi pasukan masing-masing tetapi menduduki kerusi atau kawasan penyokong lawan.

Artikel Lain