suria

Cabaran Hafiz Dan Wei Feng Berakhir, Chong Wei Teruskan Saingan

NEW DELHI: Hanya Datuk Lee Chong Wei menggalas cabaran negara manakala dua pemain gagal melepasi saingan peringkat kedua acara perseorangan lelaki pada Kejohanan Badminton Terbuka India, Khamis.

Chong Wei yang membuat penampilan pertama pada kejohanan utama sejak baru pulih dari kecederaan bahu semasa Kejohanan All-England, melangkah ke suku akhir manakala Chong Wei Feng dan Muhammad Hafiz Hashim tersingkir.

"Sekarang semua baik tetapi saya sedikit fobia dan berhati-hati semasa melakukan pukulan kencang," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai tahap pemulihan kecederaan bahunya.

Selaku juara bertahan dan pilihan utama, Chong Wei meranap harapan peminat tempatan apabila menumpaskan pemain tuan rumah Ajay Jayaram 21-16, 15-21, 21-5 sebelum berdepan sama ada dengan Taufik Hidayat dari Indonesia atau pemain China Wang Zhengming.

Wei Feng, pemain pelapis negara, kalah kepada pemain Denmark, Hans Kristian Vittinghus 13-21, 21-8, 12-21 manakala Hafiz tumpas kepada pemain nombor empat dunia, Chen Jen dari China, 18-21, 15-21.

Cabaran negara pada suku akhir beregu lelaki digalas gandingan Koon Kien Keat-Tan Boon Heong yang berjaya menumpaskan beregu Jepun, Hiroyuki Endo dan Kenichi Hayakawa 21-18, 21-18.

Beregu kedua negara Goh V Shem-Lim Khim Wah turut melangkah ke suku akhir selepas mengetepikan tentangan Ahsan Mohammad dan Septano Bona dari Indonesia, 13-21, 21-19, 21-18.

Kien Keat-Boon Heong dijadual bertemu gandingan Indonesia, Angga Pratama-Ryan Agung Saputra manakala Shem-Khim Wah akan berdepan dengan beregu ndonesia Alvent Yulianto-Hendra Gunawan pada perlawanan suku akhir.

Beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut layak ke suku akhir apabila menumpaskan Noriyasu Hirata-Miyuki Maeda dari Jepun, 21-16, 21-13.

Mereka besar kemungkinan bertemu gandingan mantap Thailand Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam pada saingan seterusnya.

Sementara itu, beregu wanita negara Goh Liu Ying dan Lim Yin Loo gagal meneruskan cabaran apabila dikalahkan oleh beregu Korea Selatan, Ha Jung Eun-Kim Min Jung, 21-13, 21-19.

Kejohanan Siri Super itu menawarkan hadiah wang tunai US$200,000 (RM610,300). - BERNAMA

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan