MELBOURNE: Barisan pemain terbaik dunia dijangka berkampung di Canberra yang akan menjadi tuan rumah Kejohanan Skuasy Terbuka Australia dari 13 hingga 19 Ogos depan.Ketua Eksekutif Skuasy Australia, Gary O'Donnell menjangkakan kejohanan kali ini adalah lebih baik berbanding dua edisi sebelum ini, sejak ia diadakan di Canberra pada 2010. "Semua pihak yang terlibat telah melaksanakan tanggungjawab dengan sangat baik supaya Terbuka Australia diadakan di Canberra dan setiap tahun mereka berjaya menguruskan kejohanan ini secara profesional," katanya dalam satu kenyataan.Dengan penganjuran di gelanggang kaca di Royal Theatre, beliau berkata kejohanan itu akan menyajikan persekitaran yang selesa kepada 2,000 peminat kerana mereka dapat menyaksikan jaguh-jaguh dunia beraksi tanpa halangan pemandangan.Terbuka Australia adalah antara kejohanan skuasy tertua dan berprestij di dunia.Para pemenang lepas termasuk nama-nama besar dalam sukan skuasy seperti Heather McKay, Geoff Hunt, Jahangir Khan, David Palmer, Michelle Martin dan Sarah Fitz-Gerald.Juara tahun lepas ialah jaguh dari Mesir, Ramy Ashour dan ratu skuasy Malaysia Datuk Nicol David."Kami teruja menanti kedatangan pemain-pemain dari seluruh dunia dan peminat dari seluruh negara ke Canberra sekali lagi tahun ini, kata pengarah kejohanan Gary Hampson.Terbuka Australia adalah kemuncak kejayaan penganjuran 13 kejohanan Jelajah Skuasy Australia, yang diadakan di setiap negeri dan wilayah di negara berkenaan.Kejohanan jelajah itu seterusnya ialah Terbuka NT di Darwin yang akan bermula Khamis ini (17 Mei) diikuti Terbuka WA di Perth pada minggu berikutnya. -BERNAMA