KUALA LUMPUR: Tiga beregu lelaki yang membawa cabaran negara pada pusingan akhir Piala Thomas di China tahun ini mungkin akan dipecahkan bagi menyaingi kekuatan beregu Denmark dalam Kumpulan C.Selain Malaysia dan Denmark, Afrika Selatan juga berada dalam kumpulan itu yang akan bersaing pada kejohanan di Wuhan dari 20 hingga 27 Mei ini. Ketua jurulatih beregu negara, Tan Kim Her berkata strategi beregu pecahan itu banyak digunakan beberapa kuasa badminton Asia seperti Indonesia dan Korea dalam menghadapi kejohanan penting."Bagaimanapun, saya akan duduk berbincang dengan ketiga-tiga beregu tersebut sebelum kejohanan bermula untuk memastikan mereka mampu menyesuaikan diri dengan cara permainan pasangan baru mereka," katanya kepada Bernama.Tiga beregu yang bakal menggalas cabaran negara kali ini ialah Koo Kien Kiat/Tan Boon Heong, Goh Wei Shem/Lim Khim Wah dan Hoo Thien How/Tan Wee Kiong.Skuad Piala Thomas negara bertolak ke Guangzhou, China pada Ahad sebagai persediaan akhir menghadapi kejohanan badminton berprestij itu.Kali terakhir skuad negara memenangi piala itu ialah pada 1992 di Stadium Negara dengan menumpaskan Indonesia, 3-2 pada perlawanan akhir.